Mahkamah arah Rafizi jawab saman Tuan Ibrahim sebelum 28 Disember
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjawab saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadapnya, selewat-lewatnya 28 Disember ini.
Tuan Ibrahim selaku plaintif memfailkan saman pada 17 November lalu terhadap Rafizi berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur fitnah mengenai kelulusan beberapa projek termasuk projek tebatan banjir kepada sebuah syarikat, lapor Bernama.
Peguam Yusfarizal Yussoff mewakili Tuan Ibrahim berkata mahkamah juga mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan sebelum atau pada 11 Jan tahun depan.
“Sekiranya terdapat permohonan interlokutori, kedua-dua pihak perlu memfailkannya sebelum pengurusan kes pada 25 Jan 2023,” katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Idamasliza Maarof secara dalam talian semalam (21 Disember 2022).
Dalam saman itu, Tuan Ibrahim mendakwa Timbalan Presiden PKR itu mengeluarkan kenyataan fitnah pada dua sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya dan kenyataan itu turut disiarkan secara langsung di YouTube defendan (Mohd Rafizi) pada 7 dan 9 November lepas.
Timbalan Presiden PAS itu mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud dalam tempoh kerajaan sementara, terdapat rundingan, perbincangan dan usaha melibatkan plaintif giat dijalankan bagi meluluskan projek bernilai RM2 bilion kepada syarikat Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus untuk kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan, ejen atau pembantunya menyiarkan dan menerbitkan apa-apa kenyataan serta video serupa secara langsung atau tidak langsung selain menuntut ganti rugi am, teladan dan keterlaluan.
Selasa lalu (20 Disember 2022), Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bukan Tuan Ibrahim yang terlibat dalam kelulusan perjanjian projek tebatan banjir itu.
“Dalam kajian awal, Kementerian Kewangan berbincang dengan beberapa syarikat yang berkenaan yang telah diluluskan secara (rundingan) terus… ini bukan semestinya menteri KASA (Tuan Ibrahim)… yang ini terlibat dengan yang lain-lain cuma kementerian terlibat.
“Jadi saya faham Yang Berhormat (Tuan Ibrahim) tersinggung tapi tidak … saya nak sebut ini dari segi proses itu kelulusan dibuat… tetapi saya tidak, tidak kaitkan (Tuan Ibrahim)… saya cuma saya nak sebutkan proses itu ya diluluskan ada rekodnya, ada suratnya yang diluluskan. Tidak semuanya menteri tapi diluluskan,” kata Anwar.
Penjelasan Anwar ketika membentangkan usul Bajet Mini 2023 di Dewan Rakyat itu, sekali gus menafikan pembabitan Tuan Ibrahim, dalam meluluskan perjanjian dan peruntukan bagi projek berkenaan.Agendadaily
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..