Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, tidak sepatutnya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) kerana langkah itu akan memberi tekanan kepada badan kehakiman.
Bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat jawatan TPM sebagai orang kedua tertinggi dalam pentadbiran negara akan menganggu mahkamah yang mungkin terpaksa membuat keputusan memihak kepadanya.
Menurutnya jawatan itu juga memberi tekanan kepada institusi kehakiman untuk menjalankan tugas secara adil dan tanpa gentar dalam kes mahkamah dihadapi Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.
Beliau juga menegaskan, Zahid sepatutnya tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan kerana berdepan tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah ketika ini.
“Sepatutnya (pelantikan) itu tidak dilakukan kerana dia sedang menghadapi tindakan mahkamah dan ada kemungkinan dia akan didapati bersalah dan dihukum.
“Orang sebegini tidak sepatutnya diberi jawatan yang begitu tinggi kerana Timbalan Perdana Menteri adalah orang yang akan ambil alih tugas Perdana Menteri jika sesuatu berlaku dan kita akan dapat seorang Perdana Menteri yang masih berdepan tuduhan mahkamah.
“Orang melihat oleh kerana Timbalan Perdana Menteri, mahkamah tidak boleh mengambil tindakan terhadapnya. Ini akan mengganggu pihak mahkamah untuk membuat keputusan. Mungkin mereka akan dapat tekanan dan undang-undang mungkin diketepikan.
“Ini bermakna dalam negara kita, tiada lagi kedaulatan undang-undang, pemerintahan yang mengutamakan kepentingan orang tertentu dan menyebabkan kerajaan tidak dihormati oleh rakyat,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH baru-baru ini yang diterbitkan hari ini (24 Disember 2022).
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesan pelantikan Ahmad Zahid yang masih dibicarakan di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 24 Januari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes ‘prima facie’ bagi semua tuduhan terbabit.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir menegaskan Ahmad Zahid juga sepatutnya meletak jawatan Presiden UMNO dan menolak lantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas parti pimpinannya kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Dulu selepas PRU-14, Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO selepas kalah dan kemungkinan dihadapkan ke mahkamah, dia letak jawatan. Sepatutnya Ahmad Zahid juga buat demikian kerana dia punya masalah yang sama dengan Najib, maka dia patut tak pegang apa-apa jawatan.
“Selepas itu baru kita dapati mahkamah tidak terganggu dengan tekanan, bahawa orang ini adalah pembesar dan undang-undang untuk pembesar tidak patut dikenakan seperti orang biasa,” katanya.agendadaily
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..