Menteri gelabah bila Bersatu minta Speaker kosongkan kerusi Papar
Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali mempertahankan tindakannya duduk di blok kerajaan dengan mendakwa dia dan tiga lagi rakan ‘sekongkolnya’ bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bukan Bersatu.
Oleh itu, dia yang sekarang ini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) oleh kerajaan PH-BN, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata tidak timbul sebarang isu ‘crossing the floor’ apabila mereka tidak duduk di blok pembangkang.
Bagaimanapun, dalam kenyataan yang dipetik daripada laporan FMT hari ini, Armizan tidak pula menafikan dia pernah menjadi ahli Bersatu.
Untuk makluman, Armizan pernah menjadi Setiausaha Eksekutif Bersatu Sabah dari 6 April 2019 hingga 2020 dan Naib Ketua Penerangan Bersatu Sabah dari 2020 sehingga mengumumkan keluar parti itu baru-baru ini.
Tindakannya bersama ahli Parlimen (MP) Bersatu lain keluar parti menimbulkan konflik dan menguji keberkesanan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang berkuat kuasa sejak Oktober lalu.
Keempat-empat mereka bersama 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin Bersatu Sabah keluar daripada parti itu seperti diumumkan bekas Ketua Badan Pimpinannya yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Bagaimanapun, akta itu tidak terpakai di Sabah kerana belum diluluskan pada peringkat negeri itu.
Untuk rekod, sama seperti calon Bersatu yang bertanding atas tiket GRS, semua calon PRU-15 lalu turut bertanding atas tiket parti gabungan, termasuk Perikatan Nasional; Pakatan Harapan (PH); Barisan Nasional (BN); Gerakan Tanah Air (GTA) dan lain-lain, kecuali calon Perikatan Nasional di Kelantan dan Terengganu yang bertanding atas tiket PAS.
Beberapa pakar undang-undang juga berpendapat maksud ‘ahli parti politik’ dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan itu adalah jelas.
Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLA), Roger Chin dipetik sebagai berkata undang-undang antilompat digubal untuk menghalang seseorang wakil rakyat yang menang atas tiket sebuah parti politik daripada melompat ke parti lain selepas memenangi kerusi.
Pada 2 November 2022 lalu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS serta Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan GRS diwakili enam calon daripada Bersatu, PBS (empat), STAR (dua), Parti Maju Sabah (SAPP – satu), bagi menghadapi PRU-15.
GRS kini antara gabungan yang membentuk kerajaan PH-BN bersama PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan WARISAN.
Terdahulu, Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran mengesahkan pihaknya sudah menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi memaklumkan berlaku kekosongan luar jangka membabitkan empat wakil rakyat Bersatu itu.
Katanya, permohonan sudah dibuat kepada Speaker Dewan Rakyat supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.
Pada sidang Dewan Rakyat 19 Disember lalu, Ronald juga mendedahkan bukti ‘surat’ bagi mengesahkan empat MP Sabah yang kini menyokong kerajaan adalah ahli parti Bersatu dan sepatutnya mereka mengosongkan kerusi tersebut serta-merta kerana sudah melanggar akta lompat parti yang dikuatkuasakan pada 5 Oktober lalu.
“Walaupun kita menggunakan yang logo berbeza pada pilihan raya yang lalu, Tuan Yang Dipertua saya ingin dengan izin membaca sekeping surat yang ditulis oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia beralamat di Alam Mesra, Kota Kinabalu Sabah yang ditujukan kepada Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu Malaysia.
“Surat ini ditandatangani Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah bertarikh 3 November 2021 yang lalu,” kata Ronald.
Selain Armizan, mereka yang terlibat ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; dan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Memetik laporan FMT, Armizan menegaskan pengundi Papar sudah memilihnya untuk menjadi Ahli Parlimen mereka berdasarkan keputusan PRU-15.
“Saya faham kekecewaan dan kemarahan beliau apabila tidak terpilih sebagai calon GRS pada PRU15… hakikatnya, inilah bezanya status kami dengan beliau dalam pilihan raya.
“(Yang pilih saya) bukan seorang hero Malaya baharu di Sabah. Banyak parti bantu saya dalam siri kempen. Selain komponen GRS, saya juga didukung melalui muafakat bersama BN, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), PAS, Parti Cinta Sabah (PCS), dan badan bukan kerajaan (NGO,” katanya.Agendadaily
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..