UMNO bantah senarai Kabinet Anwar?
Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan pengumuman senarai Jemaah Menteri kerajaannya sehingga jam 8.15 malam ini, setelah timbul beberapa bantahan daripada parti yang menganggotai Kerajaan PH-BN yang turut disertai UMNO dan DAP.
Sumber memaklumkan bahawa rundingan untuk beberapa portfolio masih diteruskan.
Terdahulu, ketika berucap di satu majlis di kawasan Parlimen Tambun, Perak, Anwar berkata beliau akan mengumumkan anggota Kabinet kerajaannya pada jam 5 petang ini.
Bagaimanapun, pengumuman itu ditangguhkan setelah ada bantahan daripada beberapa pihak berhubung kuota untuk Timbalan Perdana Menteri (TPM)dan menteri.
Difahamkan, UMNO turut membuat bantahan susulan rancangan Anwar bagi melantik beberapa bekas menteri daripada UMNO yang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, untuk menjadi menteri.
Khabar angin mengatakan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, disebut-sebut bakal dilantik untuk mengekalkan kerusi masing-masing.
Kedua-duanya dikatakan akan dilantik sebagai Senator bagi membolehkan mereka menjawat jawatan menteri.
Sumber sebelum ini berkata pegawai Dewan Negara sudah diarah membuat persediaan bagi membolehkan beberapa Senator yang akan dilantik sebagai menteri mengangkat sumpah.
Pada PRU-15 lalu, Khairy kalah dalam perebutan kerusi Parlimen Sungai Buloh, manakala Tengku Zafrul pula tewas di Kuala Selangor.
Anwar merancang melantik kedua-duanya menduduki kerusi Menteri Kesihatan dan Menteri Kewangan berdasarkan prestasi mereka sebelum ini, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19 dan ekonomi negara.
Bagaimanapun, rancangan melantik Khairy menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa pemimpin UMNO.
Pada PRU lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui tidak menyenaraikan Khairy sebagai calon kerana kononnya tiada kawasan Parlimen untuk beliau.
Bagaimanapun, Khairy mengambil inisiatif sendiri dengan menemui pemimpin MIC dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar, memohon diberikan kerusi Sungai Buloh kepadanya.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..