Kerjasama politik antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH), terutama DAP, bakal teruji dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata penganalisis politik dan isi-isu semasa.

Malah, Datuk Dr Ahmad Faris Abdul Halim tidak menolak kemungkinan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri sembilan, akan mewujudkan perpecahan lebih besar di dalam UMNO.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku penghijrahan besar-besaran ahli akar umbi UMNO kepada Perikatan Nasional menjelang PRN itu.

Dr Ahmad Faris berpendapat cabaran paling utama hubungan kerjasama itu adalah soal pembahagian kerusi yang akan ditandingi masing-masing oleh UMNO dan parti-parti komponen PH terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH.

“Kerjasama politik UMNO dan PH masih belum teruji. Ujian pertama pada enam PRN tidak lama lagi. Cabaran utama adalah soal pembahagian kerusi.

“Berapakah agihan kerusi UMNO terutama di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang diterajui oleh PH?

“Perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemimpin bahagian dan akar umbi UMNO akan wujud sekiranya bilangan kerusi terutama kerusi tradisional yang ditandingi UMNO tidak lagi mencalonkan ahli UMNO,” katanya menulis di Utusan.

Dr Ahmad Faris juga berpendapat UMNO akan dilihat mempunyai peranan lebih kecil dalam PRN enam negeri itu.

“Ini akan menjadi titik tolak perpecahan yang lebih besar kepada UMNO yang berkemungkinan penghijrahan besar-besaran pemimpin dan ahli UMNO kepada PN,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pengundi Melayu akan menerima pendekatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan PH yang turut dianggotai DAP.

“Selain itu, adakah pengundi Melayu akan menerima pendekatan kerjasama UMNO/BN dengan PH yang dianggotai DAP?

“Kecurigaan pengundi Melayu terhadap DAP sukar dibendung disebabkan tindak tanduk parti tersebut serta UMNO selama ini telah menindoktrinasi dalam pemikiran orang Melayu yang DAP adalah musuh orang Melayu.

“(Jelas) gabungan atau jajaran politik baharu akan melemahkan UMNO,” tambahnya.Agendadaily