Satu rombakan dalam pentadbiran awam melibatkan Ketua Setiausaha (KSU) beberapa kementerian, selain pelantikan ketua pengarah baharu, dilaporkan berkuat kuasa semalam.
Tindakan itu menimbulkan persoalan kebenaran isu pertukaran yang pernah didedahkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ketika parti itu bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan setelah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Ia juga menjadi punca Bersatu bertindak menarik diri daripada kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, setelah 22 bulan mentadbir negara.
Ketika kempen PRU-15 lalu, Azmin menyifatkan pentadbiran 22 bulan PH sudah cukup untuk membuktikan watak PH yang sentiasa bersikap angkuh dan sombong.
“Ketika PH membentuk kerajaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri saya ada dalam itu, mereka mendesak Perdana Menteri untuk menukar lapan ketua setiausaha,” kata Azmin.
Memetik laporan BH hari ini (18 Januari 2023) pertukaran ipengurusan tertinggi kerajaan itu membabitkan beberapa kementerian dengan pelantikan berkenaan berkuat kuasa 17 Januari.
Laporan itu menyatakan, KSU Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Lokman Hakim Ali bertukar ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dengan jawatan sama.
Jawatan KSU MITI pula diisi Datuk Isham Ishak yang sebelum ini KSU Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan kekosongan ditinggalkannya diisi KSU Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M Jana Santhiran.
KSU Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Rosli Isa pula bertukar ke Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dengan jawatan sama.
Sementara itu, bekas KSU Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof bertukar ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi).
Datuk Hishamuddin Mohd Sujak pula yang sebelum ini Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan, dilantik sebagai Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz menerusi perkongsian di Facebook, merakamkan penghargaan di atas sumbangan Lokman Hakim sepanjang menjadi KSU kementeriannya.
“Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu sangat bertuah menerima kehadiran seorang KSU yang hebat seperti Lokman Hakim. Selamat kembali juga saya ucapkan kepada Datuk Isham Ishak, KSU baharu MITI.
Sebagai orang yang sudah berpengalaman menerajui MITI dahulu, saya percaya beliau dapat melaksanakan tugas dalam memastikan MITI terus kekal sebagai enjin utama ekonomi negara,” katanya. Agendadaily
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..