Bekas naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang digantung keahlian selama enam tahun memberi isyarat jelas akan mengambil tindakan balas terhadap keputusan dibuat UMNO malam tadi.
Hishammuddin menjadi mangsa politik dalaman UMNO apabila dihukum sebelum bermulanya pemilihan parti selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk menggantung keahliannya dan tidak boleh bertanding.
“Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sudah memutuskan untuk menggantung keahlian saya dalam parti selama enam tahun.
“Berkenaan apa langkah seterusnya, saya terpaksa berbincang dengan kepemimpinan UMNO Sembrong untuk memikirkan apa hala tuju dan tindakan selanjutnya.
“Apa yang berlaku tidak sesekali mematahkan semangat saya untuk cekal berjuang demi agama bangsa dan tanah air. Ini bukanlah pengakhiran, tapi hanya permulaan. Permulaan yang baharu,” katanya dalam satu video yang dikongsi di Facebook beliau.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dalam kenyataannya malam tadi, mengesahkan penggantungan Hishammuddin, selain Timbalan Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif juga berdepan nasib sama, manakala Ahli MT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya, diberi surat tunjuk sebab.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO, Tan Sri Noh Omar serta lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO negeri Pahang, dipecat keahlian.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..