PAS Selangor yakin Perikatan Nasional (PN) mempunyai kelebihan untuk merampas dan mengambil alih pentadbiran negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH), pada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata walaupun perkara itu cuba dinafikan pihak lawan, wujud beberapa faktor serta perkembangan mutakhir politik semasa yang ternyata menyumbang ke arah keyakinan dan kemenangan PN.
“Rakyat di Selangor sudah muak dengan siri-siri pembohongan dan jani-janji palsu Pakatan Harapan dan ia diterjemahkan dalam bentuk undi.
“Calon PH dan Barisan Nasional (BN) kecundang di enam kerusi Parlimen di Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), malah BN gagal menang walau satu kerusi pun di Selangor.
“PH dilihat tidak memiliki kemampuan membawa imej yang dikehendaki rakyat dalam pentadbiran, tambahan pula apabila mereka sanggup bekerjasama dengan BN yang selama ini mereka serang sebagai kleptokrat dan serba pincang,” katanya dalam kenyataan hari ini (16 Januari 2023), menurut BH.
Dr Ahmad Yunus berkata, rakyat Selangor masih tidak dapat melihat sebarang bentuk penyelesaian yang memuaskan daripada kerajaan PH berhubung beberapa permasalahan besar di negeri ini.
“Ini termasuklah isu kos hidup, peluang pekerjaan dan perumahan, isu banjir, pengurusan cerun dan tanah tinggi, pencemaran air dan kemudahan infrastruktur serta liputan internet.
“Rakyat Selangor inginkan sebuah kerajaan negeri berwibawa, penuh berintegriti dan dapat membela nasib serta kehidupan mereka di samping membawa pembangunan kepada rakyat dan negeri.
“Bukannya sebuah kerajaan yang populis dan gemar menabur janji-janji tetapi gagal membantu dan menangani permasalahan rakyat,” katanya.
“Atas faktor inilah dan mengambil kira ‘Gelombang Hijau’ yang membawa kemenangan besar pada PAS dan PN dalam PRU-15 baru-baru ini.
“Kemenangan ini termasuk undi daripada anak-anak muda, PAS yakin akan mampu mengambilalih kerajaan negeri bersama PN dengan menjanjikan sebuah pentadbiran bersih dan stabil sebagaimana dikehendaki rakyat di negeri ini,” katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/900594/pru-15-tumbang-20-lembu-jika-parlimen-tumpat-menang-majoriti-20000-metrotv
ReplyDeleteBke???? Kih