Ahli Parlimen (PH-BN) Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendedahkan beliau menerima surat saman daripada pengimport telur dari India susulan kenyataannya ketika sidang Dewan Rakyat minggu lalu mengenai isu kekurangan telur.
Ka Siong yang juga bekas Menteri Pengangkutan yang bingung dengan tindakan tersebut menegaskan, Dewan Rakyat merupakan platformnya untuk mengutarakan masalah yang dihadapi rakyat.
“Cuma saya hairan apabila saya berucap di sini (Dewan Rakyat), saya (ada) terima surat daripada peguam yang mewakili pengimport dari India. Itu yang saya tak faham dan saya ditegah untuk berucap.
“Ini yang teruk. Sebab itu saya ada jawab nanti, tengok Facebook saya. Saya kena tunjukkan. Ini medan saya sebagai wakil rakyat.
“Saya rasa terpanggil untuk membawa isu ini (kekurangan telur). Apa salah saya sehingga pengimport melalui peguam tulis surat (saman) kepada saya. Ini floor (platform) saya.
“Saya pun tak sebut syarikat apa dan saya tak nak tahu (syarikat apa),” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini (Selasa, 28 Februari 2023).
Rabu lalu, Ka Siong yang juga Presiden MCA meraih perhatian apabila membawa tiga telur berlainan jenis iaitu telur ayam dari India, telur ayam omega dan telur ayam tempatan dalam Dewan Rakyat.
Beliau ketika itu menggesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menumpu soal ketidakcukupan telur ayam tempatan, bukannya mengimport telur ayam antaranya dari India untuk menampung keperluan domestik.
Selain itu, Ka Siong juga mendakwa ketiga-tiga jenis telur itu berbeza dari segi kepenggunaan, saiz dan harga.
“Dalam konteks ini, saya bawa telur dari India, saya beli 50 sen. Ini adalah telur Malaysia (sambil menunjukkan telur tempatan) yang harganya dikawal, 45 sen ini.
“Kita dapat lihat beza saiznya. Kita dapat lihat telur dari India ini, harga 50 sen, lebih kecil dari telur dari Malaysia…ini kekurangannya. Kalau kata telur Omega Ini, telur kampung, harganya 76 sen,” kata Ka Siong.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..