Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini (8 April 2023) cuba menyalahkan Perikatan Nasional (PN) kononnya tidak faham kenyataannya berkaitan cari gali minyak dan gas oleh Petronas di Laut China Selatan.
Ketika mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anwar menggesa ahli Parlimen Pagoh itu memberi perhatian selain hadir ke Dewan Rakyat untuk memahami isu Laut China Selatan yang menjadi pertikaian dengan China.
Bercakap kepada media di Shah Alam hari ini, Anwar berkata:
“Ini adalah masalah pembangkang yang dia tidak dapat nak tumpukan, tak hadir parlimen, tak dengar pandangan dan tak baca ulasan kerana kita konsisten sebut projek cari gali ini diteruskan. Ia adalah kawasan kita.”
Khamis lalu, Muhyiddin mengecam kenyataan Anwar yang dianggapnya cuai dan dibuat oleh seorang Perdana Menteri, yang memberi kesan kepada tuntutan China terhadap Laut China Selatan.
Presiden Bersatu itu berkata pada sidang Dewan Rakyat 4 April 2023, Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa terdapat tuntutan bertindih di Laut China Selatan “terutama kebimbangan negara China kerana Petronas telah menjalankan satu kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang juga dituntut oleh negara China”.
Muhyiddin berkata, Anwar menambah, “kalau negara China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan.”
Bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata, kenyataan sedemikian adalah cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri.
“Implikasi kenyataan ini secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan,” kata Muhyiddin.
Syarikat minyak negara mengendalikan beberapa medan minyak dan gas di Laut China Selatan dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE) 200 batu nautika.
Kapal tentera China sejak beberapa tahun kebelakangan ini melalui kawasan berhampiran medan operasi Petronas menyebabkan Malaysia mengemukakan bantahan.
Pada 2021, Malaysia memanggil duta China untuk menyatakan bantahan terhadap “pencerobohan” ke perairannya oleh kapal Beijing. Pada 2020, sebuah lagi kapal kaji selidik China mencetuskan perselisihan selama sebulan dengan kapal cari gali minyak yang dikontrak oleh Petronas dalam ZEE Malaysia.
Pada 4 April lalu, ketika menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Anwar antara lain turut berkata sekiranya China berasa kawasan di mana Petronas mencari gali adalah hak mereka maka Malaysia sedia membuka pintu rundingan.
Berikut adalah transkrip jawapan Anwar yang dipetik dari hansard Parlimen pada 4 April lalu:
“Mengenai soalan kedua tentang kegiatan China. Memang perkara ini diangkat kerana kedua-dua pihak itu ada claim bertindih di Laut China Selatan terutama kebimbangan negara China kerana Petronas telah menjalankan satu kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang juga ditutup oleh negara China.
“Perkara ini saya sebut sendiri kepada Perdana Menteri Li Qiang dan juga Presiden Xi Jinping bahawa Malaysia menganggap ini kawasan daerah Malaysia, maka oleh yang demikian, Petronas akan terus cari gali di kawasan itu.
“Walau bagaimanapun, kalau negara China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan. Akan tetapi sementara itu, usaha kita untuk cari gali akan kita teruskan.
“Saya tidak mahu mengelak daripada meneruskan rundingan kerana ini pendirian ASEAN. ASEAN merasakan semua tuntutan bertindih harus diselesaikan secara rundingan. Akan tetapi setakat ini, Malaysia bertegas bahawa ini adalah di kawasan atau wilayah Malaysia.
“Tentang kehadiran kapal dan sebagainya, itu diterangkan oleh negara China. Itu perairan antarabangsa. Akan tetapi pihak kementerian luar akan terus memantau dan sekiranya ada pelanggaran, akan mengeluarkan bantahan.”
Untuk rekod, satu kajian dilakukan portal mesra Pakatan Harapan hari ini menunjukkan kehadiran ahli Parlimen PN pada sidang Dewan Rakyat mempunyai peratusan terbaik dengan purata 29.2 hari daripada 31 hari persidangan atau 94.2 peratus.
Kenyataan Anwar itu turut dilaporkan media antarabangsa termasuk South China Morning Post (SCMP) dengan tajuk ‘South China Sea: Malaysia ‘ready to negotiate’ with Beijing over disputed waterway, PM says’, yang memetik laporan Bernama.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..