Tindakan Parti Amanah yang mempertikaikan langkah diambil untuk mengampunkan Datuk Seri Najib Razak dibidas UMNO Kelantan.
UMNO Kelantan mempersoalkan pendirian Amanah yang tidak bersetuju dengan langkah untuk membebaskan Najib dan mendesak Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Samad memohon maaf secara terbuka susulan kenyataannya baru-baru ini.
“Umno Kelantan mendesak Khalid selaku pengarah Komunikasi Amanah yang merangkap pengerusi Amanah Kelantan untuk memohon maaf secara terbuka kepada UMNO lanjutan daripada kenyataan beliau bahawa Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menolak permohonan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri.
“Untuk rekod, rayuan pengampunan diraja yang dibuat terhadap Najib adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO,” kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan Datuk Zawawi Othman dalam kenyataan hari ini.
Pada 27 April lalu, Khalid yang mewakili Amanah dilaporkan merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib daripada diberi pengampunan sekali gus dibebaskan dari penjara.
Mengulas lanjut, Zawawi berkata kenyataan Khalid jelas menyinggung perasaan ahli UMNO secara keseluruhannya.
Katanya, UMNO Kelantan sedia memutuskan hubungan dengan Amanah sekiranya Khalid tidak menarik balik kenyataan berkenaan.
“Sehubungan dengan itu, UMNO Kelantan akan mempertimbangkan untuk memutuskan kerjasama dengan parti Amanah di Kelantan.
“Sekiranya Khalid tidak menarik balik pernyataan tersebut yang ternyata amat menyinggung perasaan ahli UMNO keseluruhannya,” katanya lagi.
Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak termasuk parti politik yang ‘bersahabat’ dengan Barisan Nasional (BN) untuk tidak membuat kenyataan tidak wajar mengenai pengampunan Najib
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..