PUTRAJAYA – Misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim yang sepatutnya tamat Ahad ini mungkin dilanjutkan jika permit khas pendakian diluluskan pihak berkuasa Nepal.
Ketika ini, Kelab Eksplorasi Altitude Malaysia melalui Kedutaan Malaysia di Nepal sedang memohon permit khas berkenaan sekali gus memberi peluang dan harapan baharu untuk menjejaki Muhammad Hawari.
Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak berkata, pihaknya akan memohon permit khas itu khusus bagi melanjutkan tempoh SAR itu.
Beliau berkata, musim pendakian ke Everest akan ditutup secara rasminya Isnin ini dan pihaknya sedang berusaha mendapatkan permit khas itu.
“Jika permit khas itu diluluskan, kami akan meneruskan SAR dengan membawa beberapa teknologi daripada Malaysia seperti teknologi inframerah, kamera dan pengesan haba dan peralatan berteknologi tinggi lain.
“Sebelum ini, SAR banyak tertumpu di bahagian atas gunung dikenali sebagai ‘zon kematian’ yang dibantu enam malim gunung serta tinjauan melalui helikopter sehingga paras 8,300 meter dari aras laut namun, masih buntu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, operasi SAR semalam digerakkan menerusi jalan darat di kawasan Kem Dua selain pencarian udara membabitkan dua helikopter.
Kehilangan Muhammad Hawari memasuki hari ketujuh hari ini selepas dia dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi mencari Muhammad Hawari termasuk sumbangan RM500,000 oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..