image: http://www.mstar.com.my/~/media/upload/2018/08/03/14/01/jamie2.ashx?w=620&h=413&crop=1&/
Gambar kenangan Jami'ah bersama Dale ketika dijemput makan malam di kediaman arwah baru-baru ini.
"TAK ada siapa buat kisah aku. Baik buat cepat sebelum aku mati," itulah kata-kata terakhir bekas personaliti TV3, Datuk Mahadzir Lokman seakan-akan membayangkan dirinya akan pergi buat selama-lamanya.
Kata-kata tersebut disampaikan Dale ketika bertemu Pengarang Meja Wanita Berita Harian, Jami'ah Sokri yang berkesempatan bertemu dengan Allahyarham seminggu lalu.
"Kami baru saja berkenalan sejak tiga minggu lalu tapi arwah cepat mesra. Masa arwah minta supaya cepat buat kisah hidupnya sebelum dia meninggal tu saya memang tak terfikir pun mengenai kesakitan Dale dan kematian kerana sepanjang perbualan pada pertemuan itu, dia begitu ceria apabila bercerita mengenai pelbagai topik," katanya.
Menurut Jami'ah, dia tertarik untuk menulis kisah hidup Mahadzir atau lebih dikenali sebagai Dale selepas melihat foto-foto Allahyarham ketika bertugas di stesen TV semasa berkunjung ke kediaman beliau baru-baru ini.
"Pada Jumaat lalu, Dale menjemput saya dan beberapa rakan untuk makan malam di rumah beliau.
"Ketika saya berada di rumah itu, saya melihat ada ruang di bawah tangga yang dipenuhi dengan foto-foto beliau ketika bertugas di TV3 sebagai pembaca berita.
"Berulang kali beliau beritahu bahawa beliau adalah pembaca berita pertama di TV3. Dari situ saya tertarik untuk menulis kisah kehidupannya," kata Jami'ah ketika dihubungi mStar Online.
Dale yang berusia 61 tahun dilaporkan meninggal dunia di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah kira-kira pukul 6 pagi Jumaat selepas menunaikan solat Subuh.
Tambah Jami'ah lagi, dia tidak sangka pertemuan itu merupakan kali terakhir bertemu dengan Allahyarham.
Katanya, dalam pertemuan mereka itu, arwah kelihatan lemah dan memakai gelang hospital kerana masih berulang-alik untuk mendapatkan rawatan.
"Saya tak sangka itu adalah pertemuan kali terakhir kami. Memang nampak arwah sakit dan lemah.
"Tapi dia tak bercerita mengenai kesakitannya. Hanya saya lihat dia masih memakai gelang hospital sebab masih menjalani rawatan," ujarnya.
Menceritakan lebih lanjut, kata Jami'ah, Dale ada menghubunginya pada Isnin lalu untuk memberitahu beliau akan ke Sabah untuk berjumpa Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal.
Pertemuan pertama Jami'ah (dua dari kanan) bersama Dale serta kenalan lain pada minggu lalu .
"Beliau ada hubungi saya pada Isnin dan berborak lebih satu jam. Beliau ada beritahu nak ke Sabah untuk jumpa Datuk Seri Shafie Apdal.
"Katanya ada urusan dengan ketua menteri itu. Saya pun cadang nak buat temu bual itu selepas beliau pulang dari Sabah," katanya.
Jami'ah memberitahu dia baru sahaja mengenali Allahyarham sejak beberapa minggu lalu dan pernah bertemu sebanyak tiga kali sahaja.
"Sepatutnya kami pergi ke pertunjukan fesyen" - Farel Gafar, Sahabat baik Mahadzir
Sementara itu, sahabat baik kepada Mahadzir, Farel Gafar turut meluahkan rasa terkejutnya menerusi laman Instagram setelah menerima perkhabaran duka itu.
Dia sewaktu dihubungi mStar Online menjelaskan baru sahaja berjumpa dengan bekas pengacara itu sekitar tiga hari lepas.
Farel memuat naik foto kenangan bersama Allahyarham Mahadzir.
"Sepatutnya kami pergi ke pertunjukan fesyen, tapi kami lepak-lepak santai di rumah arwah di Petaling Jaya dari pukul 5 petang sehingga 9 malam.
"Tak ada apa-apa tanda pelik, dia macam biasa sahaja. Cuma akhir-akhir ini dia selalu ajak lepak datang ke rumahnya.
"Tapi sebelum pulang pada malam itu, saya yang menghantarnya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebab dia ada pemeriksaan kesihatan sehari sebelum berangkat ke Kota Kinabalu," jelas pemuda berusia 31 tahun itu.
Menurut Farel, dia hilang kata-kata dan hampir pengsan sewaktu menerima berita pemergian Mahadzir, sekitar 10 pagi, Jumaat.
Biarpun terkejut dan sukar mempercayai pemergian sahabatnya itu, Farel berkata dia akan sentiasa berpegang kepada segala nasihat dan pesanan yang pernah disampaikan Mahadzir kepadanya.
"Saya akan ingat sampai bila-bila pesanan dia pasal persahabatan. Dia kata berkawan kena jujur, ikhlas dan jangan ada cakap-cakap belakang.
"Saya mendoakan dia ditempatkan dalam kalangan orang beriman sebab dia sangat baik dan sentiasa berusaha mengeratkan silaturrahim antara kawan-kawan," katanya lagi.
Pada tahun lalu Mahadzir dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) PPUM akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.
Ketika ini keluarga personaliti itu sedang menguruskan jenazah Allahyarham untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..