DAP DIMINTA MENGHORMATI PENDIRIAN PAS SEBAGAIMANA PAS SELAMA INI MENGHORMATI PENDIRIAN DAP
DAP diminta menghormati pendirian PAS dalam menegakkan syiar Islam, sebagaimana PAS menghormati parti itu dalam isu penganjuran Oktoberfest.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berharap kedua-dua parti itu mencapai persefahaman dengan menghormati pendirian satu sama lain.
“Saya menghormati pendapat seorang pemimpin DAP yang menyokong penganjuran Oktoberfest, dengan mengatakan parti itu dibuat di tempat tertutup dan hanya untuk orang bukan Islam.
“Kenyataannya itu saya hormat, oleh itu, saya turut meminta DAP menghormati pendirian PAS untuk menegakkan hukum syariat, kerana ia hanya untuk orang Islam,” katanya ketika ditemui di Bazar Harakah, hari ini.
Menurutnya, dia tidak kisah orang bukan Islam mahu minum sebanyak mana minuman keras di Pesta Oktoberfest, asalkan tidak membabitkan orang Islam.
Baginya, isu Oktoberfest dan hukum hudud tidak perlu diperbesarkan, jika kedua-dua parti menghormati serta memahami matlamat satu sama lain.
“Sudah lebih lima tahun Pakatan Rakyat (PR) ditubuhkan, oleh itu, saya berharap hubungan parti dalam PR berjalan dengan baik, supaya PR dapat dikekalkan untuk memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.
Oktoberfest bermula bulan lalu di sebuah hotel di Subang, diikuti beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, Puchong, Kepong, Batu Pahat, Petaling Jaya dan Pulau Pinang.
Kemuncak pesta itu berlangsung pada 10 hingga 12 Oktober lalu, di tempat letak kereta pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..