Friday, April 3, 2015

Kes Pegawai Polis Wanita Lepaskan 'Kasanova' Ditangguh Isnin







  (Ubah saiz teks)
GEORGE TOWN: Perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis wanita yang diperintah membela diri atas pertuduhan sengaja melepaskan seorang tahanan dikenali 'Kasanova', ditangguh ke Isnin ini.

Majistret Dianne Ningrad Nor Azhar menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam bela Danny C. Navarednam, yang mewakili ASP L. Chandkumary, 58, untuk menangguhkan perbicaraan tersebut.

Danny memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan kerana tidak mempunyai rekod tarikh perbicaraan pada hari ini sebaliknya hanya pada 6 April depan.

Pada prosiding itu, Dianne turut menegur peguam itu agar tidak mengulangi perkara tersebut.
Mahkamah pada 18 Februari lalu, menetapkan dua hari iaitu pada 2 dan 6 April untuk tertuduh membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Chandkumary di akhir kes pendakwaan.

Pada 21 Oktober 2013, Chandkumary mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berhubung kes itu.

Bagi pertuduhan pertama, wanita itu didakwa sengaja melepaskan tahanan K. Prabaharan, 47, yang menghadapi pertuduhan kes penipuan pada 1.50 tengah hari di Kompleks Mahkamah George Town pada 9 Okt 2013.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Timur Laut pada pukul 8.05 malam hari yang sama berhubung insiden itu

Bagi pertuduhan pertama, Chandkumary didakwa mengikut Seksyen 225A (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 182 kanun sama memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Talib.

No comments:

Post a Comment

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..