JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus memuat naik status yang penuh berkias di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers yang menjurus kepada kebencian beliau terhadap isu korupsi.
Biarpun beliau merujuk status berkenaan dalam lingkungan dunia bola sepak dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun bait-bait ayat yang diungkapkan boleh diterjemahkan kepada situasi umum dan semasa.
Dalam status yang dimuat naik kelmarin, Tunku Ismail menjelaskan, beliau tidak akan sama sekali terbabit dengan mana-mana individu dalam FAM mahupun organisasi yang terlibat dengan rasuah.
Menurut beliau, tindakan menyokong kelompok yang bergelumang dengan rasuah hanya akan menyerlahkan kerendahan moral individu berkenaan.
"Saya tidak akan sekali-kali menyokong seseorang di dalam FAM atau mana-mana organisasi yang korup. Sekiranya kita tetap memberikan sokongan kepada mereka yang kita tahu sememangnya korup demi kepentingan diri, itu menunjukkan betapa rendahnya harga diri dan
maruah kita," katanya.
Manakala dalam status lain yang dimuat naik semalam, Tunku Mahkota Johor itu sekali lagi mengulang pendirian beliau terhadap betapa buruknya gejala rasuah.
Beliau menegaskan kuasa yang dimiliki seseorang itu tidak akan menjadikan dirinya seorang perasuah, namun akibat takut kehilangan kuasa dan sifat tamak membuatkan mereka bergelumang dengan korupsi.
Tunku Ismail berkata, beliau tidak boleh menerima situasi yang dipenuhi pembohongan dan mereka yang bersifat hipokrit dalam apa-apa pentadbiran.
"Saya tidak sanggup menerima betapa hipokritnya keadaan. Mencegah korupsi bukan sahaja baik, tetapi ianya sebagai benteng diri, ianya mencerminkan harga diri kita.
"Tanggungjawab generasi muda adalah untuk mencegah korupsi dalam bola sepak dan apa sahaja lapangan," katanya.
Di akhir statusnya, Tunku Mahkota Johor itu berkongsi sepotong korus daripada sebuah lagu tulisan Ray Davies, untuk penyokong bola sepak:
“Wang dan rasuah merosakkan tanah air, penyangak mempergunakan mereka yang bekerja keras dan memperlakukan kita seperti biri-biri dan kita sudah jemu mendengar janji-janji mereka yang kita tahu mereka takkan kotakan.”
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..