SHAH ALAM - Sebuah klip video yang memaparkan insiden kemalangan dipercayai membabitkan sekumpulan mat rempit dalam perlumbaan haram di Lebuhraya Kesas, dekat sini, semalam, menjadi viral di media sosial.
Klip video berdurasi 1.31 saat itu turut dikongsi pengguna laman sosial selain menerima pelbagai komen dan kritikan.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 5 pagi itu berlaku selepas salah seorang penunggang motosikal melanggar belakang sebuah kereta jenis Proton Exora yang melalui kawasan terbabit.
Penolong Pengurus Keselamatan Trafik Kesas Sdn Bhd, Zainudin Mohamed Nor berkata, pihaknya yang menerima panggilan terus ke lokasi kejadian di Kilometer 29.7 Lebuhraya Kesas.
Menurutnya, dua anggota ronda Kesas yang sampai di sana mendapati hanya sebuah kenderaan iaitu Proton Exora tersadai di tepi jalan dipercayai terlibat dalam kemalangan itu.
“Tapi, kelibat peserta serta penonton langsung tidak kelihatan dan keadaan ketika itu seperti biasa.
“Mungkin peserta yang terbabit kemalangan itu terus dibawa ke hospital atau dirawat di tempat lain.. kita pun tidak pasti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Azmi Mansur berkata, kemalangan berlaku di Lebuhraya Kesas berhampiran susur keluar ke Alam Impian, Shah Alam, kira-kira jam 4.30 pagi.
Menurutnya, tiada kematian seperti yang tersebar di media sosial dan semua mangsa hanya cedera di anggota badan.
“Pemandu Exora terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Klang Selatan, petang semalam,” katanya.
Katanya, polis kini sedang menjalankan siasatan termasuk mengesan mereka yang terbabit dengan perlumbaan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..