PENGUNJUNG restoran disaran merujuk kepada majikan restoran yang terbabit jika terdapat kemusykilan mengenai tindakan pekerja di premis berkenaan supaya tidak timbul fitnah.
Menurut Pengerusi Inspirasi Muhibbah India Muslim Malaysia (IMIM), Sabarudin Abdul Rahman, usaha tersebut perlu untuk mengelak timbul salah faham terhadap restoran yang diusahakan oleh India Muslim.
"Tindakan berkongsi perkara berkenaan di laman sosial dikhuatiri menimbulkan fitnah terhadap restoran tersebut dan restoran lain," kata Sabarudin kepada Sinar Online.
Beliau merujuk tindakan seorang pelayar laman sosial memuatnaik sebuah video yang merakam tindakan seorang pekerja restoran yang didakwa menggunakan alatan yang tidak sepatutnya untuk membersihkan kuali.
Katanya, perkongsian di laman sosial dikhuatiri akan menimbulkan rasa takut terhadap pengunjung dan perkara tersebut tidak adil kepada restoran India Muslim yang lain.
"Sebaliknya, pengunjung boleh melaporkan sebarang kemusykilan kepada majikan restoran terbabit.
"Jika majikan tersebut tidak mengambil tindakan, maka pengguna digalakkan untuk membuat aduan rasmi kepada pihak yang bertanggungjawab," jelas Sabarudin.
Menurutnya lagi, ini bukan kali pertama pengunjung restoran berkongsi kemusykilan mereka di laman sosial.
"Sebelum ini, terdapat pengguna laman sosial yang menuduh pekerja restoran menggunakan bahan yang menimbulkan syak wasangka dalam masakan mereka.
"Apabila saya berjumpa dengan pengguna laman sosial tersebut, beliau mengaku maklumat tersebut diperolehi dari orang lain dan bukannya dialami dirinya sendiri," akhiri beliau
.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..