SUSULAN
 sekeping gambar yang viral menunjukkan resit dengan angka RM19,284.80 yang didakwa kononnya untuk hidangan di rumah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Khamis lalu, pemilik Me’nate Steak Hub tampil menafikan perkara itu.
Mustafa Othman berkata, pihaknya telah menyemak tanda harga yang tersebar dan mendapati ianya palsu.
“Ia tidak terdapat di dalam sistem inventori kami. Tanda harga serta nota berikut semacam dirancang untuk dipamerkan itu tidak sama dengan tanda harga standard yang digunakan oleh Me'nate Steak Hub di semua outlet kami.
“Ditambah pula semua tanda harga kami mempunyai ‘bar coding’ yang tersendiri berbeza dengan apa yang telah diviralkan,” katanya dalam Facebooknya, semalam.
Beliau melahirkan kekecewaan atas penyebaran berita palsu itu dan mendakwa ia usaha pihak-pihak berkepentingan politik yang cuba mengheret perniagaannya dalam koncah politik fitnah yang tidak bertanggungjawab.
“Hidangan yang dipamerkan juga tidak masuk akal. Jika makan steak dan Matsusaka mana boleh ada nasi dan lauk-lauk lain. Gambar tukang masak juga bukan chef dari Me'nate,” katanya.
Beliau juga menegaskan sedang mendapatkan nasihat peguam berhubung perkara itu untuk mengambil mana-mana tindakan undang-undang yang bersesuaian terhadap pihak yang menyebar fitnah itu.
“Jika perkara ini tidak dihentikan dan berterusan kami tiada pilihan lain selain daripada membuat laporan polis seterusnya mengambil tindakan susulan,” katanya.
Pada resit itu tercatat "to cook: Sri Perdana (Prime Minister of Malaysia Resaidency) Dato Sri Najib Tun Razak. 21 January 2016. Matsusaka Wagyu 2 kg, Marinade-Vege-Fries-Fruits".
Ada juga sekeping kertas dipercayai bil yang tercatat jumlah RM 19,284.8
0