KUANTAN - Ditawarkan wang tunai mencecah jutaan ringgit, peneroka Felda Bukit Goh diminta memajakkan ladang kelapa sawit milik mereka untuk dijadikan lombong bauksit.
Bagaimanapun, janji tinggal janji apabila terdapat peneroka mendakwa tertipu dengan tawaran lumayan itu.
Tanah sudah dipajak tetapi hasil diperoleh tidak setimpal dengan pengorbanan dilakukan.
Mereka bukan sahaja tidak mendapat habuan dijanjikan, malah punca pendapatan daripada hasil jualan kelapa sawit dinikmati selama ini hilang begitu sahaja.
Paling menyedihkan, ada peneroka yang terpaksa menggunakan wang simpanan demi meneruskan kelangsungan hidup.
Peneroka Felda Bukit Goh, Abdul Ghani Hamzah, 78, mendakwa, dia hanya menerima sebanyak RM100,000 daripada pengusaha bauksit.
Mengakui kecewa dengan keadaan itu, dia berkata, kesenangan yang diharapkan, hanya tinggal mimpi.
Bapa 10 cahaya mata itu berkata, pada April tahun lalu, dia didatangi beberapa individu memperkenalkan diri sebagai pengusaha bauksit yang mahu melihat tanah ladang kelapa sawit seluas empat hektar miliknya.
“Ketika itu, mereka serahkan wang tunai RM500 untuk melihat tanah. Kami kemudian berbincang dan persetujuan dicapai iaitu kira-kira 3.6 hektar tanah akan dikorek bagi mengeluarkan bauksit kerana baki dari tanah itu adalah kawasan paya.
“Dalam tempoh tersebut sampai sekarang, saya cuma dapat kira-kira RM100,000 dan itu pun menerusi empat kali pembayaran. Selepas itu apabila saya telefon mereka (pengusaha bauksit), tidak berjawab,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Felda Bukit Goh di sini.
Menurutnya, hidupnya bertambah perit apabila dia mengambil keputusan untuk memperbesarkan rumahnya sebaik sahaja menandatangani perjanjian dengan pengusaha bauksit.
“Kos besarkan rumah ialah RM210,000. Bayangkan saya terpaksa keluarkan wang simpanan pula. Baru nak harapkan duit dari hasil bauksit tetapi pengusaha pula menghilangkan diri.
“Saya tidak tahu bagaimana dengan nasib kami sekeluarga sekiranya selepas tiga bulan ini mereka terus diamkan diri, sedangkan ladang dah dikorek dan ditinggalkan begitu sahaja,” katanya.
Abdul Ghani berkata, bagaimanapun dia tetap bersyukur kerana berpeluang memperoleh rezeki terpijak dan dapat menggunakan wang itu untuk membaik pulih rumah yang uzur.
“Jika ladang tidak diusik untuk ambil bauksit, mungkin tak ada rezeki saya untuk baiki rumah demi keselesaan anak cucu yang balik kampung,” ka
t