MEXICO CITY - MEXICO. Pihak polis menemui peti sejuk mini, akuarium dan sauna mudah alih di sebuah penjara Mexico di mana 49 banduan terbunuh dalam pergaduhan, tiga hari lalu.
Dalam kes itu, warden dan penguatkuasa Penjara Topo Chico di bandar perindustrian utara Nuevo Leon telah ditangkap dan dituduh gagal untuk mengambil langkah-langkah keselamatan.
Memetik laporan AFP, polis tempatan mendapati warden dan penguatkuasa penjara berkenaan begitu mudah membiarkan keselamatan penjara diceroboh lebih-lebih lagi ke atas tahanan yang berpengaruh.
Dalam pada itu, sebagai contoh, apa yang mengejutkan adalah penemuan sebuah katil kelamin bersaiz besar selain televisyen skrin rata serta ruang mandian mewah di dalam bilik penjara yang menempatkan ketua kartel dadah Zetas, Ivan Hernandez Cantu, atau dikenali dengan panggilan ‘El Credo’.
“Ketika kekecohan berlaku, seorang wanita turut berada bersamanya,” ujar Ketua Pendakwaraya Roberto Flores.
Sementara itu, penjara itu juga didapati mempunyai bilik tahanan yang lengkap dengan alat pendingin hawa, peti sejuk mini, televisyen digital, akuarium dan sauna mudah alih.
"Semua kelengkapan dan barangan itu sudah dirampas," ujar Roberto lagi.
Penjara itu juga mempunyai medan selera, kedai runcit dan juga bar minuman yang dikendalikan oleh tahanan penjara.
Pada Khamis lalu, rusuhan dan pergaduhan tersebut dipercayai 'meletus' apabila Hernandez dan seorang lagi pemimpin Zetas, Juan Pedro Zaldivar Farias atau ‘Z-27’ berebut hak menguasai penjara itu.
Dalam kejadian itu kebanyakan mangsa mati akibat ditikam atau dipukul dengan batang kayu oleh tahanan penjara lain.
Pihak pemerintah pada Ahad menyatakan bahawa pasukan polis berjaya mengawal situasi di penjara tersebut sekali gus ‘mengakhiri perebutan kuasa pemimpin jenayah terancang yang dibantu sesetengah pihak berkuasa penjara’.
Topo Chico menempatkan seramai 3,800 orang ketika rusuhan berlaku dan angka itu adalah 35 peratus lebih ramai daripada yang mampu ditampung.
Penjara itu mengurung anggota kartel dadah dan juga pesalah jenayah lebih kecil yang menunggu sesi perbicaraan
.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..