Wednesday, February 17, 2016

Terbaikkk :Sempoiii Foto Enam Anak Kedah Jelajah China Guna Kapcai






  (Ubah saiz teks)









BUKIT KAYU HITAM: Berbekalkan semangat jitu, enam anak jati Kedah menamatkan siri jelajah sejauh 6,000 kilometer, bermula dari Alor Setar ke negara China, dalam tempoh 10 hari dengan hanya menunggang motosikal kapcai.
Aidil Ezrul, 33; Muhamad Arham Jaafar, 27; Zulkefly Hashim, 28; Azmawy Awang, 28; Muhammad Afif Bakhtiar, 24, serta isteri Muhammad Afif, Nor Hafizah Asmal, 23, telah memulakan jelajah mereka pada 5 Feb lalu dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.
Muhammad Afif berkata mereka gembira kerana dapat menamatkan siri jelajah itu tanpa sebarang perkara yang tidak diingini namun sebaliknya memperoleh pelbagai kenangan yang cukup bermakna.
"Dari Alor Setar kami memasuki Thailand, Laos dan terus ke Boten yang menjadi sempadan antara Laos dan China dan sepanjang perjalanan kami tidak mengalami masalah besar cuma terpaksa berdepan dengan suhu yang mencecah sehingga tujuh darjah Celcius semasa di China selain berasa letih kerana terpaksa menunggang motosikal begitu lama namun ia tidak melunturkan semangat kami.
"Kami juga perlu menyesuaikan diri dengan pertuturan rakyat di negara Laos dan China selain berdepan kesukaran mencari makanan yang halal. Kami bernasib baik kerana terdapat beberapa restoran muslim yang menjual makanan halal," katanya kepada pemberita di laluan Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, semalam.
Beliau berkata siri jelajah itu hanya dirancang pada awal bulan lalu hasil perbincangan bersama empat lagi rakan yang lain dan selepas mendapat kata sepakat mereka memilih tarikh 5 Feb sebagai permulaan siri jelajah mereka.
"Persediaan kami buat sedikit sahaja kerana apa yang paling penting ialah keadaan motosikal, namun ia tidak mendatangkan kebimbangan kepada kami kerana ada di antara kami yang bekerja sebagai mekanik motosikal jadi kami tahu tahap kemampuan motosikal masing-masing.
"Dari segi modal pula, masing-masing menyediakan wang berjumlah RM3,000 untuk kegunaan mengisi minyak, makan dan tempat tinggal namun kami hanya menggunakan separuh daripada wang yang disediakan," katanya.
Tambahnya, dia dan rakan-rakan yang lain merancang untuk mengadakan siri jelajah ke Vietnam tahun depan selepas menamatkan siri jelajah di Kemboja pada tahun lepas.
Sementara itu, Nor Hafizah Asmal yang merupakan satu-satunya wanita dalam siri jelajah itu berkata dia gembira kerana dapat menamatkan siri jelajah ke negara China bersama suami yang dikahwini pada Mei tahun lalu.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Kerja Raya, Pelancongan dan Warisan negeri Datuk Mohd Rawi Abd Hamid menyambut kepulangan enam anak jati Kedah ini yang tiba di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam pada pukul 5.20 petang, semalam.
"Saya berbangga dengan mereka kerana mempunyai semangat yang tinggi dan berani menjelajah ke negara orang lain dengan hanya menaiki motosikal kapcai dan bukannya motosikal berkuasa tinggi. Selain itu mereka juga turut mempromosikan Discover Kedah 2016 dengan menggunakan kaedah pelancongan bermotosikal," katanya.

No comments:

Post a Comment

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..