Wednesday, December 26, 2018

Lagu 'Kemarin' nyanyian Ifan (Seventeen) bagai untuk diri sendiri

Ifan kehilangan tiga ahli kumpulan Seventeen termasuk isterinya, Dylan Sahara akibat tsunami yang melanda Selat Sunda Sabtu lalu.

BENCANA tsunami yang melanda Selat Sunda, Indonesia malam Sabtu lalu sehingga mengorbankan tiga ahli kumpulan Seventeen serta isteri vokalisnya Ifan iaitu Dylan Sahara menyentuh hati netizen.
Malah lagu Kemarin ciptaan seorang anggota kumpulan itu, Herman yang turut terkorban dan dinyanyikan Ifan seolah-olah terkena pada diri sendiri
Kemarin mengisahkan seorang kehilangan kekasih untuk selama-lamanya dan ia dirakamkan beberapa tahun lalu.

Lagu itu turut menjadi perbualan warga media sosial yang memperkatakan perkara yang sama.


Status Rozi yang akui sedih dengan berita bencana alam tersebut.
Juliana Moechtar, iaitu isteri Herman seperti dilaporkan media Indonesia berkata, lagu itu kerap dinyanyikan Allahyarham suaminya sebelum berlakunya musibah berkenaan.
Lebih terkesan apabila Ifan turut kehilangan isterinya yang meninggal dunia selepas dibadai ombak tsunami itu.
Lagu berkenaan turut mendapat ulasan pengurus Datuk Seri Siti Nurhaliza yang juga penulis lirik Rozi Abdul Razak apabila dia turut tersentuh dengan karya itu.
"Beberapa hari ini, saya tidak putus-putus membaca, melihat, menanti berita terbaru mengenai musibah tsunami yang salah satunya mengenai band Seventeen.
"Saya juga menggemari muzik seberang, band Seventeen ini adalah di antaranya yang saya ikut termasuk mempunyai playlist lagu mereka seperti Selalu Mengalahdan Kemarin.
"Lagu Kemarin ini, didengar kala ini sangat dalam rasa sedihnya, persis menceritakan sendiri bagaimana @ifanseventeen Ifan (vokalis) kehilangan semua rakan band dan isteri tersayang. Lagu ini seperti dinyanyikan buat dirinya sendiri kala ini," tulisnya di Instagram.
Rozi berkata, dia juga tersentuh apabila membaca status-status penyanyi berkenaan yang menzahirkan rasa kasih, sayang dan cinta yang mendalam kepada isterinya.
"Saya baca posting beliau di Instagram pada detik-detik masih bersama isterinya, saat beliau mencari isterinya yang belum ditemui akibat musibah itu dan setelah menemui arwah isterinya juga.
"Tidak hilang kata-kata pujuk, belai, manisnya. Tidak tinggal kata-kata sayang dan cintanya. Meskipun berkata-kata kepada isteri yang kaku dalam keranda sebelum persemadian. Mengikhlaskan segalanya buat isteri tercinta, beruntungnya arwah Dylan Sahara, suaminya reda," tulisnya.
Sementara itu, rata-rata netizen turut bersimpati terhadap kejadian malang yang menimpa kumpulan berkenaan.
Muzik video lagu Kemarin yang dilancarkan pada 21 Disember 2016 itu turut dihujani ucapan takziah peminat-peminat kumpulan itu.
Dalam kejadian Sabtu lalu, ombak tsunami yang membadai bahagian pantai Selat Sunda sehingga mengorbankan ratusan nyawa termasuklah tiga anggota kumpulan muzik Seventeen yang ketika itu membuat persembahan di Tanjung Lesung Beach Resort.
Ahli kumpulan yang terkorban ialah Herman (gitaris), Bani (bes), Andi (dram), pengurus mereka, Oki Wijaya dan seorang kru iaitu Ujang.
Individu terselamat ialah vokalis kumpulan itu, Ifan atau Riefan Fajarsyah, 35, apabila dia sempat berpaut pada kotak ketika tsunami melanda namun isterinya Dylan Sahara ditemukan meninggal dunia.

No comments:

Post a Comment

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..