KUDUNG kedua-dua tangan, namun ia langsung tidak menjadi penghalang buat seorang jejaka untuk mencari rezeki halal bagi menampung kehidupannya.
Malah, kisah mengenai Syed Syahrain Syed Fadzil yang bekerja sebagai penghantar makanan yang dimuat naik ke laman Twitter pada Sabtu lalu ternyata menarik perhatian ramai.
Jejaka berusia 24 tahun itu ketika dihubungi mStar Online mengakui tidak menyangka video dirinya sedang menghantar makanan menadi tular dan mampu memberi inspirasi kepada netizen.
Posting mengenai Syahrain yang dimuat naik oleh salah seorang pelanggannya sehingga tular.
"Sewaktu hantar makanan, pelanggan tu cakap nak rakam video sebab dia kagum tengok saya bekerja tanpa tangan. Tak sangka lepas tu viral di Twitter, ramai yang hubungi saya.
"Saya hanya sedar mengenai hal itu bila ada yang hantar paparan skrin pasal posting tu, sebab saya tak aktif sangat di Twitter.
"Sepanjang bekerja pun, tak pernah saya hadapi benda-benda buruk atau ada pelanggan yang pandang negatif, cuma mereka tertanya-tanya macam mana saya bawa motor," katanya pada Rabu.
Menurut Syahrain, dia kehilangan kedua-dua tangannya pada 2003 apabila ia hancur selepas terkena letupan dalam satu kejadian di Sungai Buloh.
Tambah jejaka itu lagi, dia mengambil masa sekitar tiga tahun untuk menyesuaikan dirinya semula selepas kehilangan anggota badannya itu.
"Masa tu umur saya sembilan tahun, saya terkena bom berhampiran Penjara Sungai Buloh. Saya berada dekat satu kawasan pondok tepi jalan.
"Saya tak tahu itu bom. Saya main dan ia meletup. Tangan saya tak putus tapi ia macam hancur. Saya terima dan reda dengan kejadian ini. Mungkin ada sebab takdir saya macam tu," luah Syahrain.
Menurut Syahrain, kekurangan diri bukanlah penghalang untuk dia bekerja dan mencari pendapatan sendiri.
Ujarnya lagi, dia sebelum ini bekerja sebagai penghantar alat ganti kenderaan selama enam tahun di Batu Caves sebelum bertukar menjadi penghantar makanan di bawah FoodPanda, sekitar sebulan lalu.
Menurut jejaka itu, dia bersyukur kerana diterima bekerja oleh majikannya dan ia sekali gus membuktikan golongan sepertinya juga mampu menjalankan tugas, seperti individu normal yang lain.
"Saya juga berterima kasih dengan semua yang bercakap mengenai saya di Twitter, ia macam satu pengajaran kepada semua orang.
"Walau apapun kekurangan diri, tak ada alasan untuk kita malas bekerja. Terima kasih kepada netizen yang doakan baik-baik untuk saya," kata Syahrain.
Syahrain banyak menerima panggilan selepas posting mengenai dirinya tular
Dalam pada itu, posting mengenai Syahrain yang dimuat naik ke laman Twitter oleh seorang individu menerima lebih 8,000 ulang kicau (Retweet).
Rata-rata netizen turut memuji kesungguhan pemuda itu biarpun dia mempunyai kekurangan diri.
"Kalau ada insan sempurna tapi masih merungut, aku hanya mampu geleng kepala. Semoga dipermudahkan segala urusan beliau," tulis @Matt_Lawi.
"Semoga Allah permudah dan luaskan rezeki beliau dengan berkat kesungguhan... terharu dapat lihat kecekalan insan ini, tiada alasan untuk terus mara dalam hidup," @tulis @AkmalViolet pula.
"Salute! Ramai aje yang cukup sifat malas nak kerja, kuat mengeluh, complain berpanjangan. Malulah sikit ye... jadi kan ini sebagai pengajaran," tulis seorang lagi pelayar Twitter.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..