Padah ketagih video lucah
M ditemani Mohammad Isa ketika berkongsi kisah hidup yang menyebabkan dia dibelenggu rasa bersalah sehingga ke hari ini.
KETAGIHAN menonton video lucah sejak berusia 9 tahun membawa detik hitam dalam kehidupan M.
M (bukan nama sebenar), kini berusia 14 tahun dan kejadian tersebut berlaku pada tahun lepas ketika dia bermalam di rumah bapa saudara.
Sepupu sendiri yang baharu berusia tujuh tahun menjadi mangsa akibat pengaruh video lucah yang ditonton setiap hari.
Pertama kali menonton video berkenaan ketika mengikuti rombongan sekolah ke sebuah perpustakaan menggunakan komputer disediakan untuk pengunjung.
M berkata, dia melihat dua rakan seusia asyik menonton video pada skrin komputer yang berada di sisi paling hujung daripada barisan beberapa komputer lain.
Menurutnya, atas sifat ingin tahu, dia menghampiri rakan tersebut dan tidak menyangka video berkenaan adalah aksi lucah orang dewasa.
"Saya pernah tengok kerana tidak tahu pun ada video sedemikian dan bila kali pertama tengok, saya jadi tertarik serta turut sama menonton bersama mereka.
"Komputer paling hujung, tak ada orang nampak apa kami buat tapi perhatikan juga keadaan sekiling supaya 'line clear'.
"Sejak itu saya jadi ketagih nak tengok lagi tapi saya tak ada komputer atau telefon bimbit," katanya.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, bagi mememastikan keinginan tercapai, dia meminjam telefon ibunya dengan alasan untuk bermain permainan dan kadangkala mengambil tanpa pengetahuan ketika ibu memasak atau mandi.
Menurutnya, dia juga seringkali menggunakan telefon bimbit berkenaan pada sebelah malam selepas ahli keluarga lain tidur.
"Kebiasaan saya tengok video itu guna telefon bimbit ibu di dalam bilik secara sendirian tanpa disedari abang dan adik lain.
"Ibu pun tak ada syak apa-apa sebab saya memang akan main 'game' di depan ibu sebelum senyap-senyap bawa masuk bilik.
"Setiap hari kadangkala tiga empat kali tengok sebab kalau tak tengok, saya jadi resah tapi dapat tengok kejap pun dah cukup," katanya.
M berkata, tabiat tidak sihat itu berlarutan sehingga menyebabkan dia sering tidur lewat dan tertidur di dalam kelas ketika berada di sekolah.
Menurutnya, lebih banyak masa diluangkan untuk bersendirian memandangkan ibunya bekerja di sebuah syarikat swasta manakala bapa merupakan pemandu kepada ahli korporat.
"Ketika darjah lima, rakan kelas ajar tentang onani dan saya akil baligh sewaktu di tingkatan satu," katanya.
Lupa diri hingga sepupu jadi mangsa
M bersekolah menengah dengan tinggal di asrama (swasta) dan hanya pulang pada cuti persekolahan.
Kejadian tidak bermoral itu berlaku ketika dia bermalam di rumah bapa saudara dan tinggal bersama beberapa sepupu untuk tempoh lima hari.
M berkata pada malam terakhir, kesemua ahli keluarga saudaranya tidur di bilik masing-masing namun dia belum dapat melelapkan mata.
Menurutnya, seorang sepupu perempuan berusia tujuh tahun pula tidur di bilik berasingan secara sendirian.
"Sebab terlalu ketagih menonton video lucah, saya nak cuba buat dan akhirnya saya lupa diri sehingga sepupu sendiri menjadi mangsa.
"Perbuatan itu disedari abang sepupu sebaik saya keluar dari bilik dan esoknya dimaklumkan kepada ibu bapa saya sebelum mereka bawa saya ke balai polis.
"Ibu dan ayah sangat marah sehingga tidak mahu bercakap dengan saya," katanya.
M berkata, dia dibawa bertemu pakar kaunseling sebelum keluarga menghantarnya ke Pertubuhan Kebajikan Rumah Pemulihan Akhlak Insani sejak Oktober tahun lepas.
Menurutnya, peristiwa itu membelenggu diri dengan rasa berdosa apabila merosakkan masa depan sepupu yang tidak tahu apa-apa kerana masih kanak-kanak.
"Saya malu, tak mungkin berani berjumpa lagi keluarga bapa saudara kerana saya dah buat kesilapan besar.
"Saya nak berubah, nak buang jauh-jauh sikap suka tengok video lucah dan bila teringat (video), saya cepat-cepat fikir benda lain.
"Saya gembira tinggal di rumah pemulihan ini, banyak perkara belajar dan saya sudah dua kali khatam Al-Quran di sini," katanya.
M antara 87 penghuni termasuk wanita berusia 13 hingga 69 tahun yang menjalani rawatan pemulihan di rumah berkenaan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Petugas, Mohammad Isa Mohammed Anuar berkata, rumah pemulihan itu ditubuhkan sejak 2006 membabitkan 11 petugas dan berjaya memberi perkhidmatan pemulihan akhlak kepada lebih 5,000 penghuni.
Menurutnya, penghuni dihantar sukarela oleh keluarga selain ia sebagai salah satu pilihan bagi menjalani hukuman mahkamah.
"Setiap individu akan menjalani proses pemulihan selama dua tahun melalui kerohanian, pengurusan diri," katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..