Saturday, January 9, 2021

Guru kongsi derita pelajar daif. Dalam hidup semasa PKP..

 

Guru kongsi derita pelajar daif... kalau tambang ke sekolah tak ada, inikan pula nak beli data kelas online - “Saya takut ajal sampai dulu, tak sempat jalankan amanah”

Kisah seorang pelajar daif sebagaimana yang dikongsikan oleh guru ini di Facebook begitu meruntun hati netizen.

MENJELANG sesi persekolahan di tahun baharu 2021, seorang pendidik terpanggil untuk berkongsi kisah duka melibatkan pelajarnya.

Hati mana yang tidak sedih apabila terkenangkan kesusahan anak murid sehinggakan tidak mampu ke sekolah kerana tiada wang untuk menampung kos tambang.

Perkongsian yang dibuat seorang guru yang berasal dari Tawau, Sabah menerusi laman sosial Facebook itu sangat menyayat hati sekaligus mencuri perhatian netizen.


Menurut guru tersebut, Maisarah Hannan Chong Abdullah, kisah itu sebenarnya berlaku tahun lepas tetapi baru sekarang dia tergerak hati untuk berkongsi dengan orang ramai.

Bercerita kepada mStar, Maisarah yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Sandakan berkata foto yang tular itu sebenarnya ketika dia melawat keluarga pelajarnya untuk menghulurkan bantuan baru-baru ini.

"Mungkin disebabkan tahun baru, saya tengok ramai yang sibuk nak buka sekolah, jadi saya teringat dekat pelajar saya ini.

"Kebetulan baru-baru ini saya ada hantar bantuan barang makanan kering ke rumahnya, itu yang membuatkan saya kongsi kisah itu tak sangka pula sampai viral," katanya yang berusia 35 tahun itu.

Menyingkap tanggal 15 Disember tahun lalu, kata Maisarah, dia ke rumah pelajarnya yang dikenali sebagai Zaliza di Sandakan untuk menyampaikan barang makanan kering untuk keluarga daif itu.



Maisarah aktif melakukan kerja-kerja kebajikan sejak PKP, Mac lalu.

"Dia pelajar saya dari tingkatan satu, tahun ini dia tingkatan tiga. Seperti yang ditetapkan kerajaan, pelajar tingkatan tiga akan bermula persekolahan pada bulan Mac dan untuk sementara waktu ini mereka akan belajar di atas talian.

"Pelajar saya ini anak kedua daripada lima beradik dan mereka sekeluarga memang hidup susah tetapi yang lebih merisaukan saya ialah dia langsung tak mahu bercerita dan sebolehnya enggan terima bantuan kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak.

"Jangan kata nak beli data untuk kelas online nanti, duit tambang pun dia tak ada nak ke sekolah.

"Bermula tahun 2019, saya memang setiap bulan bagi bantuan, contohnya projek makanan percuma dan sejak pandemik Covid-19 ini pula saya akan hantar barang makanan kering ke rumahnya.

"Di sekolah pun dia diam sahaja, tetapi dia rajin belajar dan buat kerja sekolah walaupun pelajarannya agak lemah," ujarnya menceritakan mengenai perilaku pelajarnya itu.

Sebagai guru, tanggungjawab memang besar terutama kepada pelajar kerana sayalah guru dan saya juga ibu bapa mereka ketika di sekolah.

MAISARAH HANNAN CHONG ABDULLAH

GURU

Tambah Maisarah lagi, dia terkejut apabila perkongsiannya itu mendapat perhatian sehinggakan ramai yang menghubunginya untuk menghulurkan bantuan.

"Saya tak sangka perkongsian itu boleh mengundang sebak dalam kalangan netizen sampai ramai yang hantar friend request.

"Sebagai guru, tanggungjawab memang besar terutama kepada pelajar kerana sayalah guru dan saya juga ibu bapa mereka ketika di sekolah.

"Sejak saya tahu Zaliza susah sampai tak ada tambang ke sekolah saya memang tak akan abaikan dia. Bukan hanya beri bantuan padanya, malah keluarga dia pun saya tolong," katanya.

Bagaimanapun, kata guru yang kerap melakukan kerja kebajikan ini, buat masa sekarang dia terpaksa menolak sumbangan itu kerana dana sedia ada masih banyak yang belum digunakan.



Maisarah yang berasal dari Tawau bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah pendalaman di Sandakan.

"Cumanya saya tak nak orang di luar sana salah anggap apabila saya menolak sumbangan mereka buat masa sekarang.

"Sebenarnya bukan apa, saya takut tak sempat jalankan amanah yang diberi, mana tahu ajal saya sampai dulu sebab dana yang ada sebelum ini pun masih banyak lagi yang belum diagih-agihkan," jelasnya.

Bermula dengan hanya RM20 pada 2017, Maisarah bergerak sendiri membantu golongan memerlukan dan hingga kini lebih ramai yang yakin dengan kerja-kerja kebajikan yang dilakukannya hingga memperoleh sumbangan berlipat ganda untuk disampaikan kepada kumpulan sasar.

"Alhamdulillah. Saya bersyukur sangat. InsyaAllah nanti saya akan buka semula peluang untuk orang ramai menyumbang," katanya.

TlEegram mStar!

No comments:

Post a Comment

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..