Pemuda kongsi kisah polis tolak van rosak ketika hujan lebat, ada pula pertikai skop kerja - “Pengguna jalan raya lain hanya bunyi hon”
SEJAK akhir-akhir ini kecoh kisah anggota polis yang didakwa salah laku, sehingga menjadi perdebatan di media sosial.
Namun menerusi video yang dimuat naik di laman Twitter, pemuda berkenaan menceritakan tentang anggota terbabit yang membantu mengatasi masalah sebuah van rosak di jalan raya sibuk.
"Akhir-akhir ni ramai kutuk dan cerita terbuka pasal polis. Dengan polis ambil nombor telefon, polis tegur tak pakai bra, macam-macam lah." tulisnya menerusi ciapan di Twitter.
Perkongsian mengenai kebaikan seorang anggota polis trafik.
Pemuda berkenaan, Mohd Fahmi Alwi berkata, kejadian berlaku pada minggu ini yang dirakamkan dari sebuah bilik hotel dekat Jalan Loke Yew di Kuala Lumpur.
Berkongsi pengalaman itu, katanya, kira-kira pukul 6 petang itu dalam keadaan cuaca hujan lebat, sebuah van yang melalui jalan tersebut secara tiba-tiba berhenti.
"Bukan setakat hujan lebat, tapi kenderaan-kenderaan lain yang lalu di jalan itu juga laju sebab waktu petang, orang balik dari kerja.
"Sebenarnya, van tu dah lama sangkut di situ sebelum polis trafik tu sampai. Kira-kira 10 minit juga pemandu tu berada dalam van," katanya yang berusia 30 tahun kepada mStar.
Lebih mesra disapa Fahmi, katanya, anggota polis yang tiba di lokasi kejadian dengan menunggang motosikal tampil membantu pemandu van untuk menolak kenderaan itu.
Keadaan jalan raya dekat lokasi kejadian.
"Saya percaya van tersebut mengalami masalah sehingga perlu ditolak jauh. Dalam keadaan hujan lebat tu, motosikal polis tu dibiarkan di tepi jalan.
"Lebih 200 meter jugalah polis tu tolong tolak van tu seorang diri di belakang. Lepas masalah pemandu van tu selesai dan dapat meneruskan perjalanan baru anggota polis tu berjalan ke tempat motosikal dia ditinggalkan," ujarnya yang berasal dari Klang, Selangor.
Van tu nyaris dilanggar oleh sebuah lori besar. Mujur pemandu lori dapat kawal kenderaannya dan tukar laluan. Kalau tak, saya tak dapat bayangkan apa yang akan jadi
MOHD FAHMI ALWI
Menurut bekas pramugara itu, kehadiran polis dilihat seperti tepat pada masanya kerana dapat mengelakkan daripada kejadian buruk berlaku seperti kemalangan.
"Pemandu van tu tak keluar kereta mungkin sebab dia cuba atasi apa masalah kenderaan dia, selain kereta yang lalu di situ laju yang boleh membahayakan keselamatan.
"Sepanjang 10 minit sebelum polis tiba, pengguna-pengguna jalan raya lain hanya membunyikan hon dan tiada seorang pun yang berhentikan menghulurkan bantuan.
"Saya nampak van tu nyaris dilanggar oleh sebuah lori besar. Mujur pemandu lori dapat kawal kenderaannya dan tukar laluan. Kalau tak, saya tak dapat bayangkan apa yang akan jadi," tambahnya.
Polis berkenaan berjalan kaki kembali mendapat motosikalnya.
Fahmi yang mengusahakan spa rawatan muka berkata, terdapat segelintir individu yang mempertikaikan tindakannya berkongsi mengenai kebaikan anggota polis itu di laman sosial.
"Mereka pertikaikan dengan kata dah itu memang skop kerja polis, jadi memanglah dia kena buat macam tu. Setahu saya, memang antara tugas polis untuk pastikan lalu lintas berjalan lancar dan selamat, tapi bukan bermakna mereka kena tolak kereta atau van orang awam.
"Sebenarnya, sesiapa saja pun boleh tolong kalau ada rasa tanggungjawab dan prihatin. Macam polis tu, dia datang untuk tolong sebab ada rasa tanggungjawab.
"Kalau orang suka viralkan perkara yang tak baik mengenai polis, kenapa kita tak boleh nak viralkan kebaikan mereka. Semuanya bergantung kepada kita untuk berkongsi kebaikan dan hentikan negativiti dalam kalangan masyarakat," katanya.
Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..