Dulu tebar roti canai, kini Ketua Polis Johor... Ayob Khan tak lupa asal usul
SIAPA sangka di sebalik keperibadian Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang tegas mengetuai pasukan membanteras jenayah, beliau menonjolkan sisi dirinya yang tidak diketahui ramai.
Sejak Sabtu, tular video menunjukkan beliau mempamerkan kemahiran menebar roti canai seperti yang sering kita lihat di restoran-restoran.
Kebolehan beliau itu jelas dapat dilihat menerusi program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ), di Johor Bahru, awal pagi Sabtu.
Menerusi satu rakaman video berdurasi 64 saat memaparkan aksi Ayob Khan menyediakan juadah kegemaran segenap lapisan rakyat Malaysia itu tanpa kekok, sambil bergurau mesra dengan pengamal media pada program santai berkenaan.
Ayob Khan merupakan Ketua Polis Johor. foto THOMAS YONG/The Star
Pastinya ramai yang tertanya-tanya dari mana Ketua Polis Johor itu menimba kemahiran yang bukan biasa-biasa dalam menebar roti canai.
[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]
Rupa-rupanya Ayob Khan ketika zaman remaja pernah membantu ibu bapanya membuat roti canai di kedai kopi milik keluarga mereka di kampung halaman di Pendang, Kedah.
Ayob Khan sendiri berkongsi sekeping foto yang dirakamkan pada 1978 di sebuah kedai makan.
"1978-Kedai Kopi Mydin... Tanah Merah Pendang Kedah...'We cannot forget who we are....or where we come from' (Kita tidak boleh lupa siapa kita... atau dari mana asal usul kita)," tulis Ayob Khan di akaun Instagram milik beliau.
Kita tidak boleh lupa siapa kita... atau dari mana asal usul kita
DATUK AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, kemahiran menebar roti canai itu dimiliknya sejak kecil ketika membantu bapanya di sebuah kedai makan di Pendang.
"Saya belajar tebar roti canai ini pada tahun 1978 waktu itu saya berumur 12 tahun, membantu orang tua saya di kedai makan," katanya, memetik laporan Astro Awani.
Perkongsian Ayob Khan di laman Instagram beliau.
Dalam pada itu, menerusi ruangan komen di akaun Instagram Ayob Khan @ayobkhanmydin, rata-rata netizen kagum dengan kebolehan Ketua Polis Johor itu.
Walaupun foto beliau menebar roti canai itu dikongsikannya akhir tahun lalu, namun kebanyakan netizen memenuhi ruangan komen susulan gambar berkenaan tular sejak Sabtu.
"Terbaik Datuk, ingat asal-usul. Bila berjaya tidak meninggi diri, ” komen seorang netizen.
"Padu Datuk masa muda kerja keras. Semoga Datuk dan famili dilindungi dan dirahmati Allah SWT. Selamat menyambut Ramadan Al Mubarak Datuk," tulis netizen lain.
Telegram mStar!
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..