Tuesday, June 29, 2021

Hanya jumpa sebahagian mayat, lelaki disyaki maut dibaham buaya

 


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata mangsa ditemui penduduk kampung berdekatan dengan perahunya yang ditemui terbalik. (Gambar Bomba)

PETALING JAYA: Seorang lelaki maut disyaki dibaham buaya selepas hanya sebahagian anggota badannya ditemui di Sungai Matamba, Silabukan, Sabah.

Mayat lelaki berusia 34 tahun itu ditemui penduduk kampung pada Ahad sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pihak bomba.

Difahamkan, mangsa dilaporkan hilang selepas dipercayai lemas di sungai itu sejak Sabtu lalu dan ditemui sehari kemudian dalam keadaan sebahagian anggota badannya hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian sebuah bot karam pada 11.50 malam Sabtu.

“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan keesokan paginya dengan bantuan orang awam serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sepanjang Sungai Matamba iaitu lokasi perahu mangsa ditemui terbalik.

“Kawasan pencarian meliputi jarak sepanjang hampir 25km namun mangsa masih gagal ditemui,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, usaha mencari mangsa ditangguhkan kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan sebelum anggota bergerak ke balai bomba manakala penduduk kampung meneruskan pencarian.

“Pada 6.04 petang semalam (Ahad), anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Silabukan menghubungi balai bomba dan memaklumkan mangsa sudah ditemui oleh penduduk kampung berdekatan dengan perahu mangsa yang ditemui terbalik.

“Susulan penemuan itu, anggota bomba ke lokasi dan mangsa terus diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan 7 malam,” katanya.