Lelaki tidak sengaja buang wang tunai RM90,000
ATHENS, GREECE – Seorang pemilik sebuah perniagaan hampir berputih mata apabila tanpa sengaja telah membuang wang tunai berjumlah £16,000 (RM89,842) yang mahu disimpan di dalam bank kerana menyangka ia merupakan sampah sarap, lapor akhbar Daily Star semalam.
Individu yang tidak didedahkan identitinya itu telah meletakkan wang tunai tersebut di dalam dua bungkus beg plastik sampah.
Dia berbuat demikian kerana mahu mendepositkan wang tersebut ke dalam sebuah bank Isnin depan.
Selain mahu menyimpan wang, lelaki itu juga ingin membuang beberapa kotak berisi sampah sarap.
Dia kemudiannya membuang plastik sampah yang ada padanya bersama plastik berisi wang tunai tersebut sebelum kembali semula ke kedainya.
Lelaki berkenaan kemudiannya tersedar akan kesilapannya selepas mendapati tiada wang di dalam mesin daftar tunai di kedainya.
“Saya memerhatikan keadaan sekeliling dan tersedar akan kesilapan yang telah saya lakukan.
Saya mula panik dan berlari ke luar untuk menahan sebuah kenderaan majlis perbandaran yang sedang melalui kawasan kedai serta memaklumkan kepada tiga orang pekerjanya tentang apa yang telah berlaku,” katanya.
Pekerja majlis perbandaran itu kemudiannya menjejaki lori sampah yang membawa sampah bersama wang tunai tersebut sebelum ia tiba di kawasan pembakaran.
Mereka akhirnya berjaya menemui beg plastik sampah pertama dan kemudiannya menemui plastik sampah kedua yang berisi wang tunai tersebut. – AGENSI