Monday, November 8, 2021

Perghh!! Lapan maut dalam rusuhan di konsert Astroworld

 


Travis melakukan persembahannya di Festival Muzik Astroworld. - Erika Goldring/WireImage


HOUSTON, Texas – Polis melaporkan sekurang-kurangnya seorang pengawal keselamatan diberikan dadah semasa insiden rempuhan yang berlaku pada Festival Muzik Astroworld yang menyebabkan lapan orang terbunuh  dan berpuluh-puluh yang lain  cedera, lapor laman berita RT News semalam.

Pada sidang akhbar semalam,  Ketua Polis Houston, Troy Finner menyatakan bahawa konsert malam kelmarin itu  lebih huru-hara daripada yang dijangkakan. Katanya, seorang pengawal keselamatan dicucuk sesuatu dipercayai  jarum ketika dia menahan seorang individu lain di konsert Travis Scott itu.

Kakitangan perubatan menggunakan Narcan untuk memulihkan pengawal yang dilihat pengsan, yang biasanya digunakan untuk merawat dos berlebihan dan membalikkan kesan keracunan Fentanyl.

‘’Dia sedar semula setelah diberikan ubat Narcan, malah kakitangan perubatan yang berada di lokasi kejadian mengesan tusukan menyerupai kesan jarum suntikan.

“ Mungkin juga ada orang lain yang turut disuntik,” kata Finner..

Ketua polis itu berkata, insiden itu masih disiasat. Menurutnya, kira-kira 25 orang  telah ditangkap dengan majoriti daripada mereka kerana kesalahanmenceroboh. Seorang penonton  turut diberkas  kerana menggunakan ganja dan seorang lagi kerana mabuk di tempat awam.

Terdapat lebih daripada 1,000 petugas yang menjaga keselamatan di festival itu termasuk anggota  polis dan pengawal keselamatan swasta.

Lapan orang berusia antara 14 tahun hingga  27 tahun maut dalam tragedi rempuhan itu. Polis berkata, dua daripada lapan mangsa yang meninggal dunia adalah remaja bawah umur, manakala kira-kira 300 orang menerima rawatan kerana tercedera. – Agensi