Letak Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ hanya umpan, Zahid mahu jadi PM
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya mempunyai cita-cita mahu menjadi Perdana Menteri (PM), dakwa bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu mendakwa langkah Presiden UMNO itu menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai “poster boy” bagi Barisan Nasional (BN) sebenarnya hanya umpan supaya disegerakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
“Tak boleh pakai cerita poster boy ini semua, ini semua umpan… umpan kepada Perdana Menteri supaya dia bersetuju mengadakan pilihan raya (segera).
“Bila ada pilihan raya, dia (Zahid) masih nak bertanding, jadi Presiden parti, kalau menang UMNO, tak menang pun tapi UMNO jadi parti komponen utama dalam kerajaan baharu, dia lah jadi Perdana Menteri,” katanya semasa sidang media hari ini.
Pada April lalu, UMNO mengumumkan keputusan untuk mengangkat Ismail Sabri sebagai calon PM bagi BN jika memenangi PRU-15.
Tajuddin juga mendakwa Zahid akan menyusun calon-calon yang menyokongnya untuk bertanding di kerusi Parlimen pada PRU-15 nanti, ia bertujuan untuk memastikan mereka menyokongnya menjadi PM.
“Tak boleh pakai (janji Ismail Sabri jadi PM), dia (Zahid) akan atur siapa calon-calon Parlimen… di kawasan sendiri pun saya sudah jadi sasaran nak letak orang lain bertanding,” katanya lagi.
Selain itu, Tajuddin juga tidak bersetuju apabila Zahid menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebagai rujukan untuk dijadikan alasan supaya PRU-15 disegerakan.
“Jangan ambil PRN Melaka dan Johor sebagai rujukan, dahulu semasa PRK (Pilihan Raya Kecil) Kuala Kangsar dan Sungai Besar kita menang besar tetapi sekali PRU lingkup (BN),” katanya lagi.
Jelasnya lagi, peratusan pemilih yang keluar mengundi semasa PRN Melaka dan Johor adalah rendah, senario berbeza sebaliknya semasa PRU kerana peratusan pengundi pastinya lebih tinggi dan ia pastinya akan memberi kelebihan kepada pihak lawan.
“Yang turun mengundi semasa Melaka dan Johor tak sampai 50 peratus… PRU nanti, ingat macam itu… PRU tak kurang 80 peratus, saya tahu lah sebab saya dahulu pengarah pilihan raya,” katanya lagi.
Semasa PRN Melaka dan Johor sebelum ini, BN berjaya menguasai majoriti dua pertiga tetapi jumlah peratusan pengundi yang keluar sangat rendah bawah 50 peratus.
Tajuddin yang baharu dipecat sebagai ahli MT oleh Zahid juga menggesa supaya beliau meletak jawatannya jika sayang kepada parti.
“Sudah sampai masanya eloklah Zahid secara baik jika sayang parti dan perjuangan perlu lepas jawatan Presiden parti itu, lepaskan,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..