Datuk Seri Najib Razak terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonannya mengemukakan bukti tambahan dan perbicaraan kes rasuah dana SRC International Sdn Bhd tidak akan ditangguh.
Perbicaraan di Mahkamah Persekutuan yang akan membawa Najib masuk ke penjara jika kekal didapati bersalah dalam kes SRC International kekal akan dibicarakan bermula Khamis ini.
Hari ini, Hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tidak membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri (PM) itu mengemukakan bukti tambahan melibatkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
“Saya percaya bukti jelas menunjukkan hakim (Mohd) Nazlan (Mohd Ghazali) sangat memiliki konflik (kepentingan).
“Dia sangat mengetahui transaksi 1MDB dan SRC dan oleh itu menganggap mempunyai pengetahuan peribadi mengenai kedua-dua entiti ini.
“Saya percaya para penyiasat SPRM juga menyedari fakta ini, tetapi kami tidak dapat mengemukakan (bukti tambahan).
“Saya harap dalam rayuan terakhir, kami dapat menunjukkan kebenaran perkara itu,” kata Najib dipetik laporan media semasa sidang media di Istana Kehakiman, Putrajaya.
Terpancar kekecewaan di raut muka Najib kerana keputusan tidak memihak kepadanya.
Sementara itu, peguam baharu Najib, Datuk Zaid Ibrahim juga meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan mengemukakan bukti baru itu dan tidak membenarkan penangguhan pendengaran rayuan utama selama tiga hingga empat bulan.
“(Kami) simpati penuh kepada Najib dan keluarganya. Tetapi keadilan adalah jalan yang panjang. Kadang-kadang anda boleh mendapatkannya di sini, (atau) anda boleh mendapatkannya di tempat lain,” katanya.
Terdahulu, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat (gambar, bawah) yang mengetuai panel lima hakim dalam menolak permohonan itu mengarahkan pihak pembelaan meneruskan rayuan utama mereka, Khamis ini.
“Rayuan utama akan diteruskan pada hari Khamis ini pukul 9.30 pagi,” katanya.
Empat anggota panel hakim lain yang turut bersidang ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Nalini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan; dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Tengku Maimun menegaskan bahawa kes sebegini mesti diutamakan, sambil menambah bahawa masa yang diambil untuk kes ini, terutamanya bilangan tarikh yang ditetapkan bermakna banyak lagi kes jenayah dan tertuduh terpaksa menunggu giliran untuk rayuan mereka didengar.
Mahkamah kemudian menetapkan prosiding rayuan akhir itu bermula Khamis ini. Agendadaily
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..