JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang pencuri nekad melarikan sebuah telefon pintar ketika mangsa sedang melakukan siaran langsung di laman Instagram, lapor laman berita Suara.com.
Video tersebut dimuat naik dalam akaun Instagram @jktinfo24jam. Kejadian itu dikatakan berlaku di Jalan Bali Matraman di Manggarai Selatan, Jakarta.
Dalam video tersebut, kelihatan dua wanita sedang membuat rakaman siaran langsung sambil berbual di sebuah kedai kopi.
Seorang lelaki secara senyap-senyap dilihat memerhatikan mereka dari belakang. Dua wanita itu bagaimanapun tidak kelihatan curiga kerana sedang sibuk berbual.
Pencuri berkenaan tiba-tiba tampil ke hadapan lalu merampas telefon pintar yang diletakkan di atas meja lantas melarikan diri.
Pemilik telefon itu dengan pantas mengejar pencuri tersebut sebelum dibantu oleh rakannya.
“Ada pencuri bang,” kata rakan mangsa kepada pemilik kedai kopi.
Tidak lama kemudian satu jeritan marah didengari daripada seorang lelaki, manakala siaran langsung itu diteruskan sambil menunjukkan rakan mangsa yang cuba mengejar pencuri tersebut.
Mangsa dikatakan cuba menghentikan pencuri itu ketika dia mahu melarikan diri bersama rakannya dengan menaiki motosikal. Telefon bimbit itu bagaimanapun gagal diperoleh semula kerana diugut menggunakan senjata tajam.
Video tersebut mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Pencuri semakin yakin dan berani, hati-hati kepada yang ‘melepak’ di warung. Sekarang trend mencuri di kedai kopi,” komen seorang netizen. – Agensi
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..