Kebakaran: Jakel anggar kerugian sehingga RM100 juta
Jakel menganggarkan mengalami kerugian sehingga RM100 juta susulan kebakaran cawangan syarikat tekstil itu di Wisma Jakel di Seksyen 7 Shah Alam, pagi tadi (1 Januari 2023).
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, hampir RM100 juta kerugian bagi bangunan lot kedai tiga tingkat yang musnah dalam kebakaran tersebut sebelum mengambil kira kain dan pakaian hangus.
“Bangunan ini nilainya sekitar RM100 juta membabitkan 19 buah rumah kedai dan lima buah rumah kedai lima tingkat. Kebakaran dipercayai bermula di tingkat satu, iaitu bahagian pakaian lelaki tapi punca sebenar kebakaran masih belum diketahui,” katanya menurut utusan.
Mohamed Faroz berkata, beliau hanya mengetahui kejadian ini selepas adik menghubunginya pada pagi tadi. Namun, mereka sekeluarga reda dengan tragedi dan menganggapnya sebagai ujian yang perlu ditempuhi.
“Cawangan sini mampu memberi keuntungan kira-kira RM300 juta setahun kepada syarikat, hampir setiap tahun. Kita akan cuba sewa kedai lain di sini secepat mungkin, memandangkan bulan Ramadan pun dah tak lama dah,” katanya lagi.
Terdahulu, pasukan dari tujuh balai bomba dikerah bagi operasi memadam kebakaran yang memusnahkan Wisma Jakel di Jalan Plumbum, Seksyen 7 di sini, pagi tadi.
Kebakaran kira-kira pukul 7 pagi itu melibatkan lot tiga tingkat premis pakaian terkemuka berkenaan. Punca kejadian dipercayai litar pintas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, seramai 38 anggota termasuk pegawai bersama tujuh jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.08 pagi.
Katanya, kesemua anggota terlibat melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Kota Anggerik, Subang, Kota Raja, Damansara, Sungai Pinang dan Puchong.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..