Perebutan hebat yang bakal memecah-belahkan ahli parti dijangka berlaku apabila Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, membahagi-bahagikan kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, tidak lama lagi.

Ini kerana, curiga mencurigai sesama parti komponen PH dan BN terus berlaku, apatah lagi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, masing-masing turut memaki hamun sesama mereka.

Malah, mengikut maklumat seorang pemimpin kanan DAP enggan menyertai Kabinet kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana di dalamnya ada tokoh-tokoh yang sebelum ini mereka label sebagai perompak dan penyamun.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir ketika mengulas perkara itu berkata perebutan kerusi untuk ditandingi bakal dilihat antara UMNO, PKR dan AMANAH, di kerusi-kerusi majoriti Melayu.

“Porak-peranda antara parti dijangka berlaku apabila PH dan BN membahagi-bahagi kerusi untuk ketiga-tiga negeri ini. DAP mungkin tertumpu pada satu atau dua kerusi, tetapi itupun terpaksa mengambil kira MCA dan MIC.

“Bagaimana pula kerusi-kerusi Melayu? Adakah UMNO akan mengalah dan memberi laluan pada PKR atau PAN? Pasti UMNO mahu menjadi teraju di Kelantan, Terengganu dan Kedah jika menang.

“Persoalannya, apakah PKR dan PAN akan beri lebih kerusi pada UMNO? PAN dahulu bercita-cita mahu gantikan PAS, takkanlah dapat sekadar 10 ke 15 peratus kerusi di sana.

“Sementara itu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing juga akan berebut kerusi,” katanya dalam satu kenyataan.

Roslan Shahir berkata di ketiga-tiga negeri itu, DAP pastinya mahu memonopoli kerusi bukan Melayu dan pastinya tidak akan memberinya untuk diwakili calon daripada MCA dan MIC.

Menurutnya DAP juga sudah mula menguasai kerusi-kerusi campuran, dan keadaan ini akan menyebabkan ahli-ahli MCA serta MIC dijangka memberontak.

“Di Selangor, DAP penyandang kerusi DUN Dusun Tua yang kini 63.03 peratus pengundinya Melayu, selain Sungai Pelek 58.24 peratus Melayu dan Kuala Kubu Baharu (50.30 peratus Melayu). Mahukah DAP korbankan kerusi-kerusi ini kepada PKR dan PAN apatah lagi buat UMNO, MCA atau MIC?

“Apakah UMNO tidak mahu berkuasa kembali di Negeri Sembilan? Siapakah yang akan berputih mata nanti?

“Kerusi PAS dan Bersatu di Selangor dan Pulau Pinang juga akan jadi rebutan. DUN Sijangkang, Selangor dengan 75.70 peratus Melayu adalah kubu kuat PAS sejak 2008. Adakah UMNO akan bertanding di sana atau PKR atau PAN akan tuntut?

“Kerusi DUN Penaga yang dimenangi PAS di Pulau Pinang, adakah PH akan beri laluan pada UMNO atau mereka sendiri mahu? Siapakah akan mengigit jari, sama-sama kita lihat,” katanya.

Roslan Shahir berkata ternyata kesepakatan antara PH dan BN akan diuji dalam PRN enam negeri ini, dengan masing-masing mahu menunjuk taring, sementara ahli UMNO sudah pasti tidak akan mendiam diri jika kerusi tradisi mereka dirampas untuk ditandingi PKR atau PAN apatah lagi DAP. Copy AD