Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, mengucapkan syabas kepada Kerajaan Kedah kerana mengambil serta melaksanakan pendirian tegas menamatkan sepenuhnya semua operasi premis perjudian dan loteri di negeri itu.
Wan Salim berkata, pengharaman judi dan minuman arak ke atas umat Islam sudah dinyatakan secara jelas dalam kitab suci al-Quran iaitu ayat 90 dan 91 surah Al-Maidah.
Beliau menjelaskan, sebab pengharaman itu sebagaimana dinyatakan dalam ayat sama ialah arak dan judi diperalatkan oleh syaitan bagi mencetuskan perseteruan serta kebencian dalam kalangan anggota masyarakat, selain menghalang mereka daripada mengingati Allah SWT dan menunaikan solat.
“Al-Quran juga ada menyebut bahawa antara fungsi utama pihak yang diberi kuasa pemerintahan ialah menyuruh kepada kebajikan, mencegah kemungkaran dan memastikan solat didirikan oleh masyarakat yang beragama Islam (Surah al-Hajj: 41),” katanya memetik laporan BH hari ini (2 Januari 2023).
Media semalam melaporkan semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya, kelmarin, susulan keputusan kerajaan negeri itu untuk tidak lagi memperbaharui lesen perjudian yang tamat tempoh pada 31 Disember lalu.
Sehubungan itu Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan berkenaan yang diputuskan pada November 2021.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, bagaimanapun terdapat dua perkara berkaitan yang perlu diberi perhatian dalam isu terbabit.
Pertama, beliau berkata, hukum Islam hanya mengikat umat Islam, manakala orang bukan Islam pula tidak boleh dipaksa mengikut hukum Islam, termasuk dari segi mematuhi larangan berjudi dan minum arak.
“Kedua ialah membanteras sesuatu perbuatan mungkar perlu dilaksanakan secara berhikmah. Ia bagi mengelakkan reaksi yang berkemungkinan boleh menyebabkan suasana menjadi kucar-kacir serta huru-hara dalam kalangan mereka yang tidak memahami sebab larangan berkenaan, bukan saja orang Islam tetapi juga bukan Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Salim berkata, memandangkan situasi di Pulau Pinang agak berbeza di mana masyarakat bukan Islam mewakili kira-kira separuh daripada bilangan penduduknya, beliau berpendapat pihak berkuasa boleh membenarkan premis judi terus beroperasi di negeri ini tetapi hendaklah dihadkan kepada masyarakat bukan Islam saja.
Beliau menekankan, orang Islam mesti dilarang mengunjungi premis berkenaan dengan penguatkuasaan peraturan yang ketat dan tegas.
“Saya mencadangkan supaya pihak berkuasa agama Islam dengan bantuan polis memantau premis berkenaan secara konsisten. Jika ada mana-mana orang Islam didapati terbabit kegiatan judi atau loteri, maka hendaklah dikenakan hukuman keras.
“Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) perlu mempertingkatkan lagi kempen membanteras amalan berjudi dalam segala rupa bentuk dan sentiasa mengingatkan masyarakat Islam supaya tidak terbabit amalan haram ini.
“Peringatan itu boleh dibuat melalui khutbah Jumaat dan program ceramah serta kuliah di masjid dan surau di negeri ini,” katanya.agendadaily
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..