Seorang inspektor polis yang bertanggungjawab menyiasat dakwaan kes rogol membabitkan mangsa berusia 16 tahun telah ditahan atas dakwaan merogol mangsa itu semasa melakukan soal siasat.
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dipetik Harian Metro mengesahkan laporan dan penahanan pegawai itu, tetapi enggan mengulas lanjut memetik siasatan yang sedang berjalan.
Gadis itu telah membuat laporan polis pada 31 Dis terhadap pegawai penyiasat dari sebuah balai polis daerah dekat Alor Setar, Kedah.
Terdahulu, di balai yang sama juga dia pergi untuk merakam kenyataannya berhubung dakwaan asal dirogol bapa tirinya.
Menurut Harian Metro, pegawai polis itu didakwa merogol mangsa sekitar jam 6.30 petang pada 28 Dis lepas, selepas dia meminta untuk memeriksa bahagian sulit mangsa, kononnya sebagai sebahagian daripada proses siasatan.
"Mangsa ketika itu sedang duduk di kerusi dan pegawai berkenaan kemudian memintanya supaya mengangkang untuk memudahkan pemeriksaan dilakukan terhadapnya," kata sumber.
Sumber itu dilaporkan mendedahkan bahawa gadis itu kemudiannya terpaksa menanggalkan pakaian dan berbaring di atas katil di dalam bilik penyiasatan di mana dia didakwa dirogol.
Selanjutnya, sumber berkata kejadia berlaku hampir 30 minit dan selepas itu mangsa diminta pegawai polis terbabit memakai kembali pakaiannya selain turut diberitahu yang kes berkenaan belum selesai serta diarahkan kembali untuk siasatan.
Menteri: Tiada siapa di atas undang-undang
"Susulan daripada itu, mangsa yang sudah tidak bersekolah tampil membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit selepas tiga hari ia berlaku dan dia juga dipanggil ke IPD untuk memberi keterangan.
"Remaja perempuan itu juga sudah dibawa menjalani pemeriksaan di hospital dan sepasukan polis unit forensik yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian turut menemui beberapa kesan dipercayai air mani pada cadar serta sarung bantal," kata sumber itu lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mengingatkan terdapat peraturan khusus untuk mengendalikan mangsa penderaan seksual kanak-kanak.
“Saya memandang serius kes ini dan menegaskan terdapat prosedur khusus untuk mengendalikan mangsa kanak-kanak iaitu Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 dan Garis Panduan Pengurusan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
"Tiada siapa yang berada di atas undang-undang,” tegasnya pada ciapan di Twitter.
Menurut garis panduan itu, polis perlu membawa mangsa yang disyaki penderaan seksual kanak-kanak ke hospital kerajaan, bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan.
Sebaik tiba di jabatan kecemasan hospital, mangsa akan dikendalikan oleh kakitangan perubatan yang telah dilatih mengendalikan kes disyaki penderaan dan pengabaian kanak-kanak (Scan).
Azalina, yang pernah menjadi menteri undang-undang semasa garis panduan itu digubal pada 2017, bertindak sebagai penasihat jawatankuasa yang menulis garis panduan berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..