Sunday, April 30, 2023

Boleh dengar janji PMX, tapi kami belum percaya: Persatuan Nelayan

 

Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) mendengar janji yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani isu Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) yang dibangkitkan mereka.

Bagaimanapun, PEN Mutiara masih tidak percaya dengan janji Perdana Menteri (PMX) untuk mengendalikan isu PSI yang didakwa akan menjejaskan punca pendapatan mereka selagi tidak dibuktikan dengan menunaikan janjinya itu.

Timbalan Pengerusi PEN Mutiara, Zakaria Ismail, berkata pihaknya kini tidak mahu percaya lagi kepada mana-mana kenyataan berhubung kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) PSI itu.

“Itu hanya cakap PM (Perdana Menteri) sahaja dan kami (nelayan) belum lagi bertemu dengannya. Buat masa ini, kami tidak mahu percaya dengan mana-mana kenyataan, sehinggalah PM keluarkan kenyataan muktamad, barulah kami percaya.

“Untuk percaya, minta maaflah selagi tiada tindakan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Zakaria berkata, pihaknya akan terus membuat rayuan bagi memastikan projek berkenaan dibatalkan.

Mengulas lanjut Zakaria berkata, pihaknya akan terus membuat rayuan bagi memastikan projek berkenaan dibatalkan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama Lembaga Pengarah persatuan nelayan, ketua unit nelayan dan badan bukan kerajaan (NGO) pada Selasa depan bagi membincangkan mengenai isu berkenaan.

“Segala ketetapan akan dibuat dalam mesyuarat itu dan pada masa sama kami akan terus berjuang bagi membatalkan projek berkenaan,” katanya yang juga Ketua Unit Nelayan Sungai Batu.

Semalam, media melaporkan kenyataan Anwar yang mendakwa sudah mengemukakan beberapa kebimbangan mengenai isu itu, terutama (bagi) pihak nelayan dan penduduk setempat yang berbilang kaum dan biarkan proses berkenaan berjalan terlebih dahulu.

Anwar berkata, sekiranya nelayan dan penduduk setempat masih mahu mengemukakan bantahan, beliau sedia mendengarnya dan masa sama, kerajaan negeri juga akan berikan penjelasan.

Sementara itu Pengerusi PEN Mutiara, Ibrahim Che Ros, menegaskan yang pihaknya mahu bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan isu berkenaan.

“Apa-apa pun, kita mahu jumpa PM dan tuntut janji yang dilafaz di hadapan nelayan Sungai Batu kerana ia membabitkan nasib lebih 6,000 nelayan,” katanya ketika dihubungi di sini.

EIA bagi projek PSI diluluskan JAS dengan 71 syarat yang perlu dipatuhi menerusi surat kepada kerajaan Pulau Pinang, bertarikh 11 April lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata beberapa proses perlu dilalui terlebih dahulu, selain menjelaskan kerja tambakan hanya akan dimulakan pada suku ketiga 2023.

UMNO Kelantan bidas Amanah pertikai pengampunan Najib, gesa minta maaf..Berkelahi Pulok

 

Tindakan Parti Amanah yang mempertikaikan langkah diambil untuk mengampunkan Datuk Seri Najib Razak dibidas UMNO Kelantan.

UMNO Kelantan mempersoalkan pendirian Amanah yang tidak bersetuju dengan langkah untuk membebaskan Najib dan mendesak Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Samad memohon maaf secara terbuka susulan kenyataannya baru-baru ini.

“Umno Kelantan mendesak Khalid selaku pengarah Komunikasi Amanah yang merangkap pengerusi Amanah Kelantan untuk memohon maaf secara terbuka kepada UMNO lanjutan daripada kenyataan beliau bahawa Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menolak permohonan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri.

“Untuk rekod, rayuan pengampunan diraja yang dibuat terhadap Najib adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO,” kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan Datuk Zawawi Othman dalam kenyataan hari ini.

Pada 27 April lalu, Khalid yang mewakili Amanah dilaporkan merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib daripada diberi pengampunan sekali gus dibebaskan dari penjara.

Mengulas lanjut, Zawawi berkata kenyataan Khalid jelas menyinggung perasaan ahli UMNO secara keseluruhannya.

Katanya, UMNO Kelantan sedia memutuskan hubungan dengan Amanah sekiranya Khalid tidak menarik balik kenyataan berkenaan.

“Sehubungan dengan itu, UMNO Kelantan akan mempertimbangkan untuk memutuskan kerjasama dengan parti Amanah di Kelantan.

“Sekiranya Khalid tidak menarik balik pernyataan tersebut yang ternyata amat menyinggung perasaan ahli UMNO keseluruhannya,” katanya lagi.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak termasuk parti politik yang ‘bersahabat’ dengan Barisan Nasional (BN) untuk tidak membuat kenyataan tidak wajar mengenai pengampunan Najib

Friday, April 28, 2023

NGO lapor SPRM berhubung dakwaan rasuah seks libatkan Exco Melaka

 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dakwaan rasuah seks melibatkan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka dengan seorang wanita yang tular baru-baru ini.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini membuat laporan kepada SPRM Melaka berhubung pendedahan yang tular dalam media sosial yang didakwa melibatkan tawaran seks bagi mendapatkan projek di negeri tersebut.

Wakilnya, Mohd Zamri Abu Bakar dalam laporan kepada SPRM meminta supaya siasatan dibuka dengan segera terhadap Exco Melaka tersebut.

“Hari ini saya bagi pihak warga negeri Melaka tampil ke SPRM membuat laporan dan mendesak SPRM bertindak segera memulakan siasatan.

“Untuk makluman semua bermula 25 April 2023 di media sosial facebook akaun bernama Zaharin Mohd Yassin (https://www.facebook.com/amir.malaya.796 ) dan che’GuBard Original (https://www.facebook.com/ChegubardOriginal ) telah memuat naik banyak maklumat berupa bukti gambar, cetakan skrin telefon dan video yang mengaitkan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dengan skandal rasuah seks.

“Dari bukti bukti yang dimuat menunjukkan Exco terbabit punya hubungan dengan seorang perempuan yang menawarkan khidmat seks bagi mendapat bayaran. Di mana Exco itu dikehendaki membayar sehingga RM15,000 sebulan kerana khidmat seks yang diberikan. Ini jelas boleh disabitkan kesalahan yang boleh dituduh mengikut Seksyen 372(1) (f) Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tempoh 15 tahun, sebatan dan denda. Manakala lelaki terbabit boleh disabit kesalahan Seksyen 372 (B) Kanun keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun, atau denda, atau dengan kedua- duanya,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan di SPRM Melaka hari ini.

Mohd Zamri mendakwa terdapat elemen rasuah dalam pendedahan skandal seks yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Namun dalam pendedahan itu jelas wujud elemen rasuah yang sangat besar di mana perempuan itu telah pun memberikan khidmat seks bagi tujuan mendapatkan projek untuk ‘uncle’ nya dan watak yang dikatakan Exco Kerajaan Negeri itu turut berjanji memberikan projek demi mendapatkan layanan seks,” katanya lagi.

Mohd Zamri berkata perkara tersebut perlu disiasat pihak SPRM bagi mendapatkan cerita sebenar dan menyatakan kekecewaan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf bin Yusoh kerana membela seorang Exco tersebut.

“Kenyataan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Ab Rauf bin Yusoh yang disiarkan beberapa media semalam turut sangat mengecewakan apabila dia menyebut dia tidak mahu menafikan (peduli) perkara itu terjadi atau tidak namun dia menyifatkan ia sebagai fitnah yang boleh dikenakan kepada sesiapa sahaja.

“Maka timbul persoalan adakah Kerajaan Melaka hari ini tidak kisah mengenai integrity termasuk wujud rasuah seks tetapi akan terus membela dan melindungi pelaku?

“Semua sangat jelas dan jika SPRM pun gagal bertindak maka sesuatu sangat tidak kena sedang berlaku,” katanya lagi.

Rumah Terbuka bersama Sanusi cecah 50 ribu orang lebih, lapor Sinar Harian

 


Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkan kerajaan negeri Kedah dibanjiri orang ramai dengan sebuah portal melaporkan dianggarkan 50 ribu lebih hadirin pada majlis tersebut.

Menurut laporan portal Sinar Harian, majlis yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Seri Mentaloon mula dibanjiri orang ramai bermula jam 11 pagi semalam.

Suasana pekarangan Seri Mentaloon dipenuhi orang ramai yang hadir bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dijadual berakhir pada 4 petang.

Sebanyak 28 menu disajikan kepada pengunjung yang dijangka mencecah 50,000 orang.

Muhammad Sanusi ketika ditemui menyatakan rasa gembira dengan kehadiran 30,000 pengunjung setakat jam 1 tengah hari tadi.

“Kehadiran di luar jangka hingga menu makanan ditambah lagi untuk jangkaan 10,000 hingga 15,000 orang lagi.

“Ini membuktikan serangan terhadap saya sebelum ini tidak beri kesan negatif, sebaliknya mendapat sambutan baik,” katanya dipetik laporan tersebut.

Sanusi juga menyifatkan sambutan luar jangka ini sebagai petanda baik kepada Perikatan Nasional (PN) untuk berdepan saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini.

Sunday, April 9, 2023

Penunggang motosikal lintasi jambatan tenggelam

 

Lelaki itu memandu motosikalnya melalui jambatan yang tenggelam. - Twitter


JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang penunggang motosikal melintasi sebuah jambatan yang tidak kelihatan kerana ditenggelami air, lapor laman berita Kompas semalam.

Video yang dimuat naik di akaun Twitter @Kodok Ijo memaparkan aksi lelaki itu menunggang motosikal melintasi jambatan yang tenggelam.

Bercakap mengenai kestabilan pemanduan, Pengarah Pusat Latihan Memandu Jakarta Defensif (JDDC) Jusri Pulubuhu berkata, motosikal tidak ada kestabilan.

Kata Jusri, istilah yang digunakan adalah seimbang, bermakna berat pada empat sisi penunggang iaitu atas, bawah, depan dan belakang mestilah sama rata.

Mengenai keadaan selamat untuk melalui air, Bahagian Perkhidmatan Teknikal Honda Motor (AHM) Endro Sutarno berkata, paras air perlu tidak melebihi hujung ekzos motosikal sebelum melintasinya.

“Selagi paras air di bawah hujung ekzos motosikal, ia masih selamat untuk melintasi lokasi banjir,” katanya kepada Kompas baru-baru ini. – Agensi

Beri kenyataan cuai Laut China Selatan, PMX nak salahkan PN

 


Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini (8 April 2023) cuba menyalahkan Perikatan Nasional (PN) kononnya tidak faham kenyataannya berkaitan cari gali minyak dan gas oleh Petronas di Laut China Selatan.

Ketika mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anwar menggesa ahli Parlimen Pagoh itu memberi perhatian selain hadir ke Dewan Rakyat untuk memahami isu Laut China Selatan yang menjadi pertikaian dengan China.

Bercakap kepada media di Shah Alam hari ini, Anwar berkata:

“Ini adalah masalah pembangkang yang dia tidak dapat nak tumpukan, tak hadir parlimen, tak dengar pandangan dan tak baca ulasan kerana kita konsisten sebut projek cari gali ini diteruskan. Ia adalah kawasan kita.”

Khamis lalu, Muhyiddin mengecam kenyataan Anwar yang dianggapnya cuai dan dibuat oleh seorang Perdana Menteri, yang memberi kesan kepada tuntutan China terhadap Laut China Selatan.

Presiden Bersatu itu berkata pada sidang Dewan Rakyat 4 April 2023, Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa terdapat tuntutan bertindih di Laut China Selatan “terutama kebimbangan negara China kerana Petronas telah menjalankan satu kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang juga dituntut oleh negara China”.

Muhyiddin berkata, Anwar menambah, “kalau negara China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan.”

Bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata, kenyataan sedemikian adalah cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri.

“Implikasi kenyataan ini secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan,” kata Muhyiddin.

Syarikat minyak negara mengendalikan beberapa medan minyak dan gas di Laut China Selatan dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE) 200 batu nautika.

Kapal tentera China sejak beberapa tahun kebelakangan ini melalui kawasan berhampiran medan operasi Petronas menyebabkan Malaysia mengemukakan bantahan.

Pada 2021, Malaysia memanggil duta China untuk menyatakan bantahan terhadap “pencerobohan” ke perairannya oleh kapal Beijing. Pada 2020, sebuah lagi kapal kaji selidik China mencetuskan perselisihan selama sebulan dengan kapal cari gali minyak yang dikontrak oleh Petronas dalam ZEE Malaysia.

Pada 4 April lalu, ketika menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Anwar antara lain turut berkata sekiranya China berasa kawasan di mana Petronas mencari gali adalah hak mereka maka Malaysia sedia membuka pintu rundingan.

Berikut adalah transkrip jawapan Anwar yang dipetik dari hansard Parlimen pada 4 April lalu:

“Mengenai soalan kedua tentang kegiatan China. Memang perkara ini diangkat kerana kedua-dua pihak itu ada claim bertindih di Laut China Selatan terutama kebimbangan negara China kerana Petronas telah menjalankan satu kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang juga ditutup oleh negara China.

“Perkara ini saya sebut sendiri kepada Perdana Menteri Li Qiang dan juga Presiden Xi Jinping bahawa Malaysia menganggap ini kawasan daerah Malaysia, maka oleh yang demikian, Petronas akan terus cari gali di kawasan itu.

“Walau bagaimanapun, kalau negara China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan. Akan tetapi sementara itu, usaha kita untuk cari gali akan kita teruskan.

“Saya tidak mahu mengelak daripada meneruskan rundingan kerana ini pendirian ASEAN. ASEAN merasakan semua tuntutan bertindih harus diselesaikan secara rundingan. Akan tetapi setakat ini, Malaysia bertegas bahawa ini adalah di kawasan atau wilayah Malaysia.

“Tentang kehadiran kapal dan sebagainya, itu diterangkan oleh negara China. Itu perairan antarabangsa. Akan tetapi pihak kementerian luar akan terus memantau dan sekiranya ada pelanggaran, akan mengeluarkan bantahan.”

Untuk rekod, satu kajian dilakukan portal mesra Pakatan Harapan hari ini menunjukkan kehadiran ahli Parlimen PN pada sidang Dewan Rakyat mempunyai peratusan terbaik dengan purata 29.2 hari daripada 31 hari persidangan atau 94.2 peratus.

Kenyataan Anwar itu turut dilaporkan media antarabangsa termasuk South China Morning Post (SCMP) dengan tajuk ‘South China Sea: Malaysia ‘ready to negotiate’ with Beijing over disputed waterway, PM says’, yang memetik laporan Bernama.

Thursday, April 6, 2023

Kerajaan campuran lantik Azeez Rahim jadi Pengerusi KEDA baharu

 

Seorang lagi pemimpin UMNO yang kalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilantik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hari ini.

Kali ini dibawah kerajaan campuran, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengumumkan pelantikan bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang kalah semasa PRU-15 lalu sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang baharu.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Santuni Kasih Ramadan Kedah di Masjid Al-Aqla, Pekan Jitra, di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Abdul Azeez akan menggantikan bekas Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi memegang jawatan itu.

“Di bawah kementerian, kami ada Lembaga Kemajuan Wilayah yang meliputi kawasan-kawasan di luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) yang menjadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan luar bandar untuk negeri Kedah.

“Dahulunya, KEDA di bawah pimpinan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang telah dilantik oleh kerajaan (kini) diberikan kepada Datuk Seri Abdul Azeez Rahim sebagai Pengerusi KEDA,” katanya dipetik laporan Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, Zahid berkata Jamil Khir yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Jerai akan diberikan peluang lain di peringkat nasional.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap jalinan agensi-agensi di bawah KKDW dan kerajaan negeri perlu dilakukan dengan cara paling mudah.

Pada Ogos 2022, Jamil Khir menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi KEDA menggantikan Exco Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.