BISMARCK, DAKOTA UTARA – Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar daripada kereta yang dipandunya sebelum menghentam pintu besi sebuah kedai dalam satu kemalangan ngeri di negeri Dakota Utara, Amerika Syarikat, lapor portal berita MailOnline semalam.
Salvador Mendiola, 32, memandu kereta Mercury Mountaineer 2022 miliknya di New Town sekitar pukul 11.20 malam (waktu tempatan) 5 Ogos lalu.
Dia gagal melepasi satu selekoh jalan lalu terbabas sebelum kereta dipandunya melambung dan terperosok ke dalam longkang.
Menurut laporan, mangsa tidak memakai tali pinggang keledar ketika kemalangan berlaku.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan dia tercampak keluar dan merempuh bahagian hadapan kedai.
Penumpang kereta itu, Lazaro Gonzalez, 25, dan Salvador Gonzalez, 26, dilaporkan cedera dalam nahas itu.
Pihak berkuasa bergegas ke lokasi kejadian di mana Mendiola disahkan meninggal dunia.
Sementara Lazaro pula cedera parah dan dibawa ke Hospital Trinity di Minot untuk menerima rawatan, manakala Salvador mengalami kecederaan ringan dan dirawat di tempat kejadian. – AGENSI
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..