Nuffnang

Sunday, October 20, 2024

Israel dedah rakaman dron operasi pembunuhan Yahya Sinwar

 


BAITULMAQDIS: Pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, dikesan oleh dron mini Israel ketika berlindung dalam sebuah bangunan di Gaza selatan.

Dron itu merakamkan pemimpin Hamas itu memakai kiffiyeh (selendang) sambil duduk di atas sebuah sofa dalam keadaan tidak bermaya dalam bangunan yang berhabuk yang dipaparkan satu video yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Israel, hari ini.

Apabila dron itu berlegar-legar berdekatan, video itu menunjukkan Sinwar cuba melemparkan sebatang kayu ke arah dron dalam keadaan tidak berdaya.

Hari ini, tentera Israel mendakwa meeka berjaya membunuh Sinwar selepas pemburuan intensif yang berlangsung lebih setahun.

Menurut pegawai Israel, tentera pada awalnya tidak sedar sudah berjaya menumpaskan musuh nombor satu negara itu selepas berbalas tembak dalam satu insiden Rabu lalu.

Perkhidmatan risikan Israel secara beransur-ansur

mengehadkan kawasan untuk beroperasi, kata pihak tentera.

Tentera hanya mengesahkan kematian Sinwar selepas membuat semakan pada rekod gigi, cap jari dan ujian DNA.

Namun, mereka mengakui pembunuhan itu tidak seperti operasi pembunuhan pemimpin pejuang Hamas yang lain yang sememangnya sudah dikesan lebih awal dan dibunuh oleh Israel, termasuk komander tentera Hamas, Mohammed Deif yang dibunuh dalam serangan udara Israel pada 13 Julai lalu.

Operasi yang akhirnya membunuh Sinwar itu bukanlah serangan terancang yang disasarkan, atau operasi yang dijalankan oleh komando elit.

Sebaliknya, pegawai tentera menyatakan Sinwar ditemui oleh askar infantri dari Briged Bislach, sebuah unit yang biasanya melatih bakal komander.

Askar-askar itu sedang mencari musuh di kawasan Tal El Sultan, Gaza selatan, pada hari Rabu, yang mana mereka percaya berkemungkinan ada kehadiran anggota kanan Hamas.

Pasukan itu melihat tiga suspek bergerak di antara bangunan dan melepaskan tembakan, yang mana ia mengena Sinwar dilihat cuba melarikan diri ke dalam bangunan yang telah runtuh.

Menurut laporan media Israel, tembakan peluru kereta kebal dan peluru berpandu turut dilancarkan ke arah bangunan itu.

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata, Sinwar hanya dikenal pasti sebagai pejuang Hamas pada awalnya tetapi pemeriksaan lanjut menemui senjata, jaket kalis peluru, dan wang 40,000 shekel (AS$10,731) atau RM46,067.

"Dia cuba melarikan diri dan pasukan kami menumpaskannya," katanya kepada pemberita dalam satu taklimat yang disiarkan di televisyen.

Sehingga kini, Hamas tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, tetapi sumber dalam kumpulan itu berkata berdasarkan petunjuk yang mereka lihat sememangnya Sinwar yang terbunuh.

"Puluhan operasi yang dijalankan oleh IDF dan ISA memburu Sinwar sepanjang tahun lalu, namun dalam beberapa minggu kebelakangan ini mereka mengehadkan pergerakan operasinya yang membawa kepada pembunuhan pemimpin Hamas itu," kata pihak tentera Israel dalam satu kenyataan.

Pada bulan-bulan terakhir hidupnya, Sinwar, arkitek utama serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang di Gaza, dilihat sudah berhenti menggunakan telefon dan peralatan komunikasi lain yang mendedahkan beliau untuk dikesan perkhidmatan risikan Israel yang menjejaknya.

Pegawai Israel, berkata mereka percaya Sinwar

bersembunyi di salah satu rangkaian terowong besar yang digali oleh Hamas.

Ketua Tentera Israel, Leftenan Jeneral Herzi Halevi, berkata, usaha Israel memburu Sinwar sepanjang tahun lalu memaksa pemimpin Hamas itu "bertindak seperti pelarian, yang mana memaksanya kerap berpindah-randah."

Pegawai Israel, yang menggelar Sinwar sebagai musuh yang kejam dan komited, bimbang serangan itu membahayakan 101 tebusan Israel dan asing yang masih ditahan di Gaza.

Mereka bimbang Sinwar menjadikan tebusan sebagai perisai manusia untuk melindungi dirinya daripada serangan Israel.

Namun, tiada tebusan ditemui berdekatan dengan kawasan Sinwar ditemui terbunuh.

Akhir Ogos lalu, sampel DNA Sinwar ditemui di sebuah terowong beberapa ratus meter dari tempat enam tebusan Israel dihukum mati oleh Hamas.

No comments:

Posting Terbaik Minggu Ini

Sila Like Blog Apa Khabar Orang Kampung

Follow twitter

Harga Minyak dan Logam Dunia

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung