Nuffnang

Wednesday, April 1, 2015

Perghhh!,, Gaji Baru Hamilton AS$40 juta Setahun

Gaji Baru Hamilton AS$40 juta Setahun



> Juara dunia dua kali Fernando Alonso kini menerima bayaran sebanyak AS$40 juta setahun.
> Juara empat kali Sebastian Vettel pula menerima bayaran gaji sehingga AS$50 juta.
JUARA Formula 1, Lewis Hamilton dijangka menandatangani kontrak baru bersama Mercedes minggu ini yang akan menyaksikan gaji tahunannya melonjak kepada £27 juta.
Pelumba Briton berusia 30 tahun itu mengakui yang rundingan gaji barunya bersama Mercedes sudah pun muktamad dan kini deraf kontrak baru sedang disediakan oleh peguam masing-masing.
Hamilton tidak menggunakan khidmat ejen sebaliknya merundingkan kontrak barunya sendiri.
"Segala-galanya patut dimeteraikan minggu ini...tidak ada sebab mengapa ia tidak boleh diselesaikan kerana rundingan sudah dimuktamadkan. Hanya tinggal soal perundangan sahaja yang perlu diselesaikan oleh pihak peguam," ujarnya sepertimana yang dipetik oleh BBC Sport.
Menurut BBC Sport, mereka difahamkan yang Hamilton bersetuju untuk menerima bayaran gaji asas sepertimana yang diperolehinya ketika menyertai Mercedes pada 2013 selepas enam tahun bersama McLaren, iaitu sebanyak AS$31 juta atau Pound Sterling £20.9 tetapi dengan tambahan bonus yang besar.
Bergantung berapa banyak perlumbaan yang dia menangi atau memenangi kejuaraan dunia sekali lagi, bayaran bonus ini dengan mudah boleh meningkatkan pendapatannya sehingga AS$40 juta atau £27 juta.
Nilai keseluruhan kontrak baru Hamilton ini meletakkanya setaraf dengan apa yang diperolehi oleh dua lagi nama besar dalam F1 iaitu juara dua kali, Fernando Alonso dan pelumba baru Ferrari yang juga juara empat kali, Sebastian Vettel.
Alonso kini menerima bayaran sebanyak AS$40 juta setahun daripada pasukan barunya, McLaren yang dikuasakan oleh enjin Honda sehingga tahun 2017.
Vettel pula menerima bayaran gaji sehingga AS$50 juta (£33.7juta) untuk musim pertamanya bersama Ferrari.
Gaji Vettel untuk tahun pertama tinggi disebabkan bonus tambahan kerana bersetuju menyertai Ferrari dari Red Bull tetapi untuk musim kedua, dia akan menerima bayaran asas sebanyak AS$30 juta (£20.4 juta), dengan bonus tambahan bergantung kepada jumlah kemenangan dan juga kejuaraan dunia.
Hamilton, yang memenangi Grand Prix pembuka tirai iaitu GP Australia awal bulan ini dan ditempat kedua dalam perlumbaan GP Malaysia hujung minggu baru-baru ini sedang mendahului pungutan mata dengan kelebihan tiga mata di atas Vettel yang muncul juara GP Malaysia.
Dia mengakui yang Ferrari bakal muncul sebagai pesaing utama Mercedes musim ini.
Hamilton berkata ketika dia berada di pentas untuk menerima trofi naib juara GP Malaysia, dia berkata kepada dirinya, apakah yang sedang Fernando berfikir sekarang kerana sepatutnya dialah yang berada di tempat Vettel dan menjulang juara GP Malaysia jika dia menaruh kepercayaan kepada Ferrari semusim lagi.
Alonso meninggalkan Ferrari selepas lima musim yang mengecewakan bersama pasukan merah itu dan musim lalu adalah musim yang paling buruk dalam sejarah Ferrari untuk tempoh 21 tahun.
Dan Vettel pula terpaksa menunggu lebih lama untuk menyertai Ferrari kerana Alonso masih terikat dengan pasukan Itali itu sehinggalah dia (Alonso) membuat keputusan untuk menamatkan kontraknya lebih awal kerana merasakan jentera Ferrari tidak akan membawanya sebagai juara dunia lagi walaupun Ferrari mendesaknya supaya bersabar untuk semusim sahaja lagi bagi mereka membuktikan sebaliknya.
Ironinya, Alonso kini mendapati, selepas dua perlumbaan, pasukan barunya McLaren sedang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera baru iaitu enjin Honda sedangkan Vettel yang mengambil alih tempatnya di Ferrari telah membawa pasukan itu kembali untuk bersaing sebagai juara.
"Betapa peliknya bagaimana keadaan boleh berubah dengan sedikit masa sahaja dan andai kata Alonso mahu bersabar semusim sahaja lagi, mungkin dia yang akan menjulang trofi GP Malaysia minggu lalu," ujar Hamilton lagi.
BERIKUT ADALAH SENARAI AHLI SUKAN DENGAN GAJI YANG LUMAYAN:
1. Floyd Mayweather (juara tinju dunia): AS$105 juta (£70.9 juta)
2. Cristiano Ronaldo (bolasepak, Real Madrid): AS$80 juta (£54 juta)
3. LeBron James (bala jaring, Miami Heat): AS$72.3 juta (£48.8 juta)
4. Lionel Messi (bolasepak, Barcelona): AS$64.7 juta (£43.7juta)
5. Kobe Bryant (bola jaring, LA Lakers): AS$61.5 juta (£41.5 juta)
6. Gareth Bale (bolasepak, Real Madrid): AS$36.4 juta (£24.6 juta)
7. Lewis Hamilton (pelumba F1, Mercedes): AS$32 juta (£21.6 juta)
8. Wayne Rooney (bolasepak, Manchester United): AS$23.4 juta (£15.8 juta)
9. Steven Gerrard (bolasepak, Liverpool): AS$18.7 juta (£12.6 juta)


No comments:

Posting Terbaik Minggu Ini

Sila Like Blog Apa Khabar Orang Kampung

Follow twitter

Harga Minyak dan Logam Dunia

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung