BRASILIA - BRAZIL . Ia adalah momen luar biasa kerana lelaki ini kelihatan tenang tanpa mengerang kesakitan walaupun belakang tubuhnya tertusuk dengan pisau dapur.
Elionardo Nascimento sedang menikmati minuman di sebuah pub di Brasileia, bandar pedalaman di utara Brazil ketika dia ditikam secara tiba-tiba.
Mangsa berusia 22 tahun itu bagaimanapun bernasib baik kerana pisau tersebut tidak mengenai organ utama dan ruang tulang belakangnya.
Beberapa gambar yang diambil daripada rakaman video menunjukkan bagaimana Nascimento berdiri di tepi jalan dengan tenang dan tidak mempedulikan apa yang sedang berlaku pada dirinya.
Beberapa penduduk setempat turut cuba menenangkan lelaki tersebut sementara menunggu ambulan tiba di lokasi tersebut.
Dia kemudiannya dihantar ke Hospital Kecemasan Rio Branco dan doktor berjaya mengeluarkan pisau tersebut melalui pembedahan.
"Saya tidak tahun kenapa perkara ini berlaku. Saya tidak bergaduh atau bertengkar dengan sesiapa. Saya mengunjungi pub itu untuk bertemu dengan rakan sebelum ditikam secara tiba-tiba oleh seorang lelaki.
"Pada mulanya saya keliru kerana tidak merasa sakit. Tetapi, saya tahu saya perlu terus bertenang kerana tiada sebab untuk panik. Ia hanya boleh memburukkan lagi keadaan," katanya. - Daily Mail