Dua lelaki termasuk seorang pegawai penguat kuasa sebuah Suruhanjaya Tinggi ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa bersubahat menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) untuk membawa masuk warga Bangladesh, lapor FMT.

Sumber SPRM dipetik memaklumkan turut ditahan pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja yang dipercayai bersekongkol dengan pegawai terbabit untuk meluluskan visa warga Bangladesh kononnya untuk melancong namun sebaliknya bekerja di Malaysia.

Menurut sumber, siasatan mendapati pegawai terbabit bersubahat dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia sejak 2021 dan menerima bayaran sekitar AS$300 ke AS$500 bagi setiap kelulusan permohonan VLN.

“Ia membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta, meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja,” katanya.

Suspek yang berusia lewat 30-an ditahan 6.30 petang semalam di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Sumber berkata, penahanan itu yang ketiga membabitkan pegawai agensi penguat kuasa bagi membantu siasatan Op Taka dilancarkan April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Imigresen.

Majistret M Mageshwary membenarkan suspek direman empat hari sehingga 31 Julai selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.