Nuffnang

Saturday, April 23, 2016

Laungan Azan Subuh Di Hujung 2015 Buat Hati Saya Terusik'






Safiey Ilias yang saya kenali. 20 minit yang amat berharga. Saya cuba mencari kunci kepada sebuah penghijrahan seorang 'mak nyah' yang lebih dikenali sebagai Safiey Ilias. Seorang jutawan kosmetik muda yang sudah memperoleh segalanya, harta, kerjaya, kecantikan dan status yang tinggi dalam dunia keusahawanan. 

Namun, satu saat dia terfikir, di mana Tuhan?

Beliau seorang yang berjiwa besar. Jika tidak, mana mungkin beliau mampu menjana RM1 juta pertamanya pada umur 19 tahun? Beliau seorang yang bersungguh-sungguh. Jika tidak, mana mungkin beliau mampu membina sebuah empayar perniagaan dalam usia yang muda? Beliau seorang yang bijak. Jika tidak, mana mungkin beliau ketemu hidayah dalam dunia gelap seorang 'mak nyah'?

Berbual dengan beliau, saya jumpa dua rahsia. Penghijrahan beliau berkait rapat dengan pengorbanan seorang bapa. Unik kerana beliau lebih rapat dengan bapa. Apa sahaja yang beliau lakukan, bapa sentiasa ada. Tidak pernah mengangkat tangan atau bertingkah kata.

Pada si bapa, sejahat mana pun anaknya, beliau sebagai bapa mesti sentiasa ada. Bayangkan hati seorang bapa, seorang anak lelakinya perlahan-lahan berubah menjadi seorang perempuan. Bapa mana yang tidak luluh hatinya bila si anak perlahan-lahan menukar gaya hidup dan pakaian. Adakah bapa ini menghalaunya?

Tidak. Si bapa tetap ada, sentiasa ada dan sentiasa terus memberi nasihat agar menjadi manusia. Kalau mahu pakai baju, pakailah tetapi jangan pakai yang seksi-seksi. 

Sejujurnya saya kagum dengan bapa beliau. Semangat dan ketabahannya berada di tahap tertinggi. Doa adalah azimatnya. 

"Satu masa nanti, anakku ini akan ketemu Tuhannya,"

Syukur, dalam linangan air mata Safiey menyatakan, selepas penghijrahan ini, bapa beliau adalah insan yang paling gembira di dunia.

"Saya mahu mengangkat sendiri keranda bapa sebagai seorang lelaki!"

Safiey Ilias, anda mempunyai seorang bapa yang hebat!

Kedua, saya jumpa rahsia kekuatan solat. Menurut Safiey, dia telah mencuba pelbagai cara untuk mendekati Tuhan. Dia berdoa, dia berubah tetapi ia tetap tidak sempurna. 

Beliau mula solat, sekadar buat secara perlahan-lahan. Suatu subuh di hujung 2015, terdengarlah beliau satu azan yang mengusik. Pada subuh itulah beliau menikmati sebuah solat dengan air mata, teresak-esak. Beliau jumpa nikmat solat. Sehingga hari ini, linangan air mata mengalir saban masa dalam solatnya. Dosa terasa berat di bahu. 

Satu cerita yang membuatkan saya tersentuh ialah, setiap kali selepas sembahyang, beliau sering teresak-esak menangis, merayu pada Tuhan agar diringankan beban dosanya.

"Tapi bang, setakat ini tidak pernah ada seseorang pun yang memegang bahu untuk menguatkan saya!"

Saya tersentuh, kita sering membiarkan pendosa itu bersendirian. Kitalah hakim dunia yang paling sombong.

Menurut Safiey, selepas beliau ketemu nikmat solat, dapatkan beliau melengkapkan hidupnya. Kembali pada sunnah bagi menampung dosa lama. Kini, beliau gusar dengan hartanya dan mahu menggunakan semua hartanya untuk kebaikan. Beliau mahu berdakwah, ini tanggungjawab utamanya. Semua ini beliau ketemu dalam solat. Ini kunci utamanya. 

Beliau mahu kembali dalam masyarakat, mahu memperbetulkan segala kesilapan. Beliau mahu membuktikan gaya hidup Islam ini adalah gaya yang terbaik. Beliau dan semua pendosa pada mata kita mahu berubah. Berikanlah mereka ruang. - Syirfan Indra | PIXEL MEDIA 

No comments:

Posting Terbaik Minggu Ini

Sila Like Blog Apa Khabar Orang Kampung

Follow twitter

Harga Minyak dan Logam Dunia

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung