BUKAN semua penunggang motosikal berkuasa tinggi menunggang secara membuta tuli seperti budak hingusan, ada juga yang berkonvoi dengan cara-cara yang betul dan berhemah serta menjaga keselamatan di atas jalan raya. – GAMBAR HIASAN
SEMINGGU dua ni kecoh seketika dunia permotoran ekoran kejadian nahas negeri yang berlaku di Lebuh Raya Karak yang mengorbankan dua penunggang motosikal berkuasa tinggi.
Kejadian itu turut melahirkan ramai ‘bijak pandai’ yang memberikan hujah-hujah yang akhirnya menghentam penunggang motosikal berkuasa tinggi.
Penulis tidak mahu mengulas mengenai kejadian nahas berkenaan kerana biarlah mereka pergi dengan aman yang telah ditentukan oleh Allah. Apa yang penting, kita sedekahkan pahala Al-fatihah kepada mereka.
Dan penulis juga tidak mahu menuding jari kepada penunggang motosikal mahupun pemandu kereta atau lori, kerana masing-masing mempunyai kesalahan yang dilakukan dan ada yang betul juga pada mereka.
Apa pun, mengulas mengenai penunggang motosikal berkuasa tinggi atau dikenali sebagai ‘Big Bikers’, ingin penulis perkatakan, tidak semua yang bersifat dan bersikap seperti mat rempit atau budak hingusan seperti yang dihebahkan sebelum ini.
Penulis juga merupakan penunggang motosikal berkuasa 650cc (tak tahulah sama ada berkuasa tinggi atau tidak) setiap hari ke pejabat dan juga ke tempat tugasan dan berita-berita berkenaan turut terpalit kepada penulis dan rakan-rakan.
Tapi, ‘saudara’ bermotosikal kami sendiri turut mempertikaikan rakan-rakan ‘bikers’ kami dengan mengatakan ada Big Bikers ni mempunyai sikap yang buruk semasa menunggang di atas jalan raya.
Ya, penulis tidak menyangkal kenyataan itu, namun bagi penulis tidak semua bersikap demikian, lebih-lebih lagi mengaitkan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang terbunuh dalam kecelakaan jalan raya dengan isu mat rempit dan budak hingusan.
Harus diingat bahawa, masing-masing kemungkinan melakukan kesilapan, baik penunggang atau pemandu dan sebaiknya kita sama-sama mengubah sikap dengan pemanduan atau tunggangan yang lebih berhemat.
Statistik Ops Selamat 4, 2014 turut menyaksikan kemalangan melibatkan kereta mencatatkan kadar yang tertinggi iaitu sebanyak 12,237 kes (72.9 peratus), diikuti motosikal sebanyak 1,998 kes (19 peratus) dan pacuan empat roda sebanyak 684 kes (4.1%), namun kemalangan maut masih didominasi penunggang motosikal iaitu sebanyak 79 orang atau 58 peratus daripada jumlah yang direkodkan iaitu 136 orang.
Melalui statistik itu, boleh kita buat pelbagai kesimpulan dan andaian, namun ia tidak akan mengubah keadaan pemanduan jika kedua-dua pihak masih mengambil sikap sambil lewa dan tidak berhati-hati.
Ingin penulis perkatakan bahawa memang terdapat segelintir Big Bikers yang menunggang dengan laju dan tidak berhati-hati hingga menyebabkan kesukaran kepada pengguna jalan raya yang lain. Kemungkinan ada dalam kalangan mereka ini masih muda dan sifat ego serta ingin menunjuk-nunjuk menebal.
Tapi ada juga kemalangan yang turut melibatkan penunggang luar daripada kelompok itu. Kesimpulan yang boleh dilakukan ialah kemungkinan mereka kurang mempunyai pengalaman tunggangan ekoran motosikal hanya digunakan setiap hujung minggu dan bukan setiap hari.
Selain itu, kemalangan motosikal tanpa membabitkan kenderaan lain juga tinggi. Kerajaan harus melihat struktur jalan raya, keadaan jalan raya dan penghadang jalan raya yang sebenarnya menjadi pembunuh senyap kepada penunggang motosikal. Dan mereka yang mengalami cedera serius selain yang terkorban, menggunakan pakaian keselamatan (riding gears) menunggang yang penuh termasuk topi keledar, jaket dan but menunggang yang terbaik.
Namun, kebanyakan kemalangan yang terjadi turut melibatkan kenderaan lain terutama lori dan kereta. Seringkali kemalangan motosikal membabitkan kenderaan yang membuat pusing U tanpa memberi isyarat termasuk membelok di laluan yang tidak dibenarkan. Kenderaan yang membelok menukar laluan tanpa lampu isyarat juga merupakan ‘anasir jahat’ kepada penunggang motosikal yang seringkali gagal untuk membrek selepas dihimpit.
Dan penulis juga tidak nafikan motosikal yang ditunggang laju merupakan antara penyumbang kemalangan maut di jalan raya. Ini disebabkan kelajuan boleh membunuh, lebih-lebih lagi kepada jentera dua roda.
Tidak ada apa yang boleh menyelamatkan kita jika tunggangan melebihi kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dilakukan. Tidak ada cara untuk kita membrek mengelak hentaman di hadapan dan tidak ada cara untuk kita terus selamat berada di atas motosikal kecuali terseret jatuh bersama momentum kelajuan motosikal selepas itu.
Tidak ada cara. Kelajuan memang membunuh. Tapi adakah mereka yang menunggang motosikal berkuasa 1,000cc ke atas ingin menunggang motosikal mereka di bawah 100km/j?
Mungkin tidak. Dan bagi mereka yang mengatakan pergilah ke litar halal, ya, penulis boleh pastikan 70 peratus mereka yang mempunyai motosikal berkuasa tinggi pernah dan seringkali ‘melepaskan geram’ di Litar Antarabangsa Sepang.
Jadi, apa kesimpulan yang boleh kita buat? Penulis berpendapat, biarlah kita sama-sama memberi ruang kepada pemandu kereta mahupun penunggang motosikal dan memberi sedikit lebihan kepada penunggang motosikal kerana peratusan mereka terkorban lebih tinggi.
Kerajaan juga perlu bersikap lebih proaktif dengan menyebarkan maklumat tatacara pemanduan yang ideal kepada semua. Kursus pemanduan sebelum mengambil lesen kini - sehingga ada yang tidur - perlu diubah sama ada kepada penunggang motosikal mahupun pemandu kereta.
Apa pun akhirnya, yang empunya badan perlu muhasabah diri. Tanpa menyalahkan sesiapa, kita kena tanya diri kita dahulu sebelum melakukan pecutan.
PENULIS ialah Penolong Pengarang Unit Media Baru Utusan Malaysia
3 comments:
Pernah seorang marshall konvoi bikers memberi arahan agar saya yang memandu kereta dan sedang memotong lori agar ketepi untuk memberi laluan kepada mereka.Apa hak mereka? Saya bayar tol.Mereka tidak.Ini bikers "bangang"namanya.
Mmg bangang.. kenapa bawa 1000 c.c tak boleh bawa bawah 100km/j? Rule tetap rule... sapa yg kurang ajar atas highway bawa laju mencelah antara kereta... hormatlah org lain. Ini mcm takde tamadun... kat UK.. moto lagi besar.. atas jln masih ikut speed limit... kat traffic light beratur belakang kereta... ini baru bertamadun... yg tak boleh bawa slow ni takde lesen ke? Bukan ke masa test ada buat no 8 slow2.. jln atas papan pada 200 km/j ke masa test...
Aku pernah jumpa atas federal highway biker speeding lebih 150 km/j... aku nak potong tiba2 muncul bike ni yg aku tak expect pun boleh ada atas federal highway...
Aku pun rider gak dulu.. sekitar 1994... gsxrr 1100 bike aku... biasa je aku ikut rule... sbb aku tengok bikers kat UK ok je... nak laju aku lepas gian kat pasir gudang...
Tapi kini aku dah tak ride... segan dgn mentaliti sesetengah bikers... honda fireblade aku dok diam belakang rumah....
Wahai big bikers hormatlah pengguna jln yg lain... dan jgn park motor kat parking kereta...
Terima kasih atas komen anda
Post a Comment