- Hadi bersama isteri dan lima anaknya menjadikan tandas terbiar ini sebagai tempat berteduh selepas rumah mereka terpaksa dirobohkan kerana pemilik tanah mahu mengambil semula tapak rumah yang diduduki sejak lebih 20 tahun lalu.
BIJANGGA - “Saya tak pernah termimpi suatu hari saya sekeluarga akan tidur di dalam tandas.. inilah hakikat kehidupan, saya tiada pilihan sebab sudah hilang tempat berteduh selepas rumah saya dirobohkan,” luah Hadi Al Hafiz Musa, 30.
Bapa kepada lima anak itu terpaksa menjadikan tandas awam terbiar sebagai tempat berlindung keluarganya dari panas dan hujan.
Tindakan itu dilakukan Hadi dan isterinya, Nazayana Mat Rudi, 35, sebagai jalan terakhir selepas rumah yang diduduki mereka terpaksa dirobohkan berikutan pemilik tanah ingin mengambil semula tapak rumah yang difahamkan diduduki secara haram sejak lebih 20 tahun lalu.
"Sebagai seorang ayah, pastinya saya pilu lihat lima anak saya terpaksa tidur dalam tandas, mana pernah orang buat sebelum ini.
"Bayangkan tiga anak saya yang masih kecil (Mohd Hazriq Haiqal, 6, Mohd Azwan Rayan, 5, dan Mohd Kalis Hakiki, 2) terpaksa tidur di atas lantai tandas dengan banyak nyamuk dan persekitaran yang kotor," katanya.
Hadi berkata, dia tidak mampu menyediakan rumah lebih selesa kerana kebanyakan rumah yang ditemui sewanya mahal, sedangkan dia tidak berkemampuan.
Nama tidak tersenarai
Dakwa Hadi, sebelum ini, pihak berkaitan berjanji mahu menempatkan penduduk termasuk dirinya berpindah ke kawasan penempatan khas yang sudah dikenal pasti.
Bagaimanapun dia kecewa kerana namanya tidak tersenarai menyebabkan dia buntu sehinggalah saat-saat akhir dia terpaksa keluar dari rumahnya setelah mendapat perintah mahkamah.
“Saya sudah mencari di kawasan sekitar, tapi tak jumpa rumah yang saya mampu sewa.
"Akhirnya kami terpaksa berlindung di sini buat sementara, kalau tak ada rumah juga, maka di sinilah rumah kami sebagai pilihan terakhir,” katanya.
Kata Hadi, dia sepatutnya mendapat penempatan baharu kerana sudah tinggal di situ sejak puluhan tahun lalu, namun kecewa kerana namanya tidak disenaraikan pada saat-saat akhir, mungkin disebabkan kerenah birokrasi politik.
Lebih menyedihkan, dua anaknya, Nurul Alia Natasha, 11, yang bersekolah di SK Gong Pasir dan Puteri Shahida Amalin, 9, bersekolah di SK Kuala Dungun tidak dapat mengulang kaji pelajaran seperti mana biasa berikutan keadaan persekitaran yang menjijikkan.
“Selagi saya tidak dapat rumah, selagi itulah saya akan tinggal di sini. Mungkin inilah rumah saya, sudah dua malam saya bermalam di sini dan mungkin sampai bila-bila,” katanya.
Adun kesal
Sementara itu, Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik yang mengunjungi keluarga malang itu selepas menerima maklumat berkata, dia kesal dengan apa yang berlaku terhadap keluarga Hadi.
Menurutnya, pihak yang bertanggungjawab dengan urusan penempatan semula penduduk sepatutnya lebih prihatin kerana ia membabitkan soal kehidupan rakyat yang kehilangan tempat berlindung.
“Sebagai wakil rakyat, saya sedih melihat perkara sebegini boleh berlaku dalam masyarakat kita orang Melayu.
“Jika keluarga ini masih tinggal di sini juga, mungkin kita akan cari jalan untuk bantu mereka agar anak-anaknya tidak tidur di tandas lagi,” katanya.
Hadi antara lebih 20 penduduk yang terpaksa berpindah selepas tanah diduduki diambil semula pemilik asal.
Sebahagian daripada penduduk terlibat sudah ditempatkan di perumahan kos rendah di Bukit Tebuk manakala sebahagiannya di Flat Desa Bijangga.
Sinar Harian semalam melaporkan, kira-kira 10 keluarga kini dalam kebimbangan selepas mereka diarahkan mengosongkan kediaman erta-merta, sedangkan mereka masih belum mendapat rumah lain untuk berpindah.
No comments:
Post a Comment