Seorang bayi perempuan berusia enam bulan melecur teruk di bibir dan pipi selepas dipercayai diberi minum susu panas oleh pengasuh taska.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkat, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang dibuat oleh ibu mangsa pada jam 8.49 malam tadi di Balai Polis Rawang di sini.
Menurutnya, mangsa sebelum itu dihantar ibunya ke taska terletak di Rawang di sini, pagi semalam.
"Ibu mangsa bagaimanapun mendapat tahu kejadian itu selepas dihubungi pengusaha taska melalui telefon.
"Berdasarkan siasatan awal, kejadian melecur itu berlaku pada jam 4 petang semalam. Mangsa segera dibawa ke klinik berhampiran oleh pengusaha taska sebelum dirujuk ke Hospital Selayang," katanya.
Menurutnya, bayi itu kini dalam keadaan stabil dan polis masih menyiasat punca sebenar kejadian yang menyebabkan bibir dan pipi kiri mangsa melecur.
"Mangsa masih dirawat di Hospital Selayang dan keadaannya dilaporkan stabil.
"Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan polis akan melakukan siasatan terperinci sama ada kejadian itu disengajakan atau sebaliknya," katanya.
Susulan itu pihak polis akan menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
No comments:
Post a Comment