• Zahid patut jaga Umno yang lebih bermasalahNik Nazmi (kanan) pada sidang tergempar Pemuda PR di Kampung Pelet, Kubang Semang, di Permatang Pauh, hari ini. Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
 1 / 1 

PERMATANG PAUH - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dinasihatkan memberi fokus kepada masalah parti itu terlebih dahulu sebelum mencampuri masalah dalaman PR.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan pimpinan tertinggi PR tidak pernah mengabaikan suara akar umbi ahlinya khususnya mengenai isu hudud.

"Tidak timbul soal itu, bila pimpinan Pas juga bersama kami, dan akar umbi sendiri boleh turun berkempen dan bekerjasama dengan kita.

"Saya rasa Zahid Hamidi salah maklumat, dia kena turun ke bawah dan lihat sendiri," katanya kepada Sinar Online di Kampung Pelet, Kubang Semang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, tindakan memboikot calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail oleh pemimpin dan ahli akar umbi Pas Permatang Pauh dijangka berterusan sehingga hari pengundian PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, berkata ia disebabkan oleh sikap pemimpin utama PR yang tidak menghormati pendirian mereka untuk mempertahankan hudud yang diperjuangkan Pas.

Sebelum ini juga, Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah mengarahkan supaya membekukan jentera dan aset mereka daripada terlibat dalam kempen PRK Permatang Pauh untuk memenangkan calon PKR.

Meskipun Mohd Yusni sudah menarik balik arahan tersebut dan membuat pusingan U untuk bekerjasama dengan PKR, namun mereka tetap mempertahankan pendirian mereka sebelum ini.

Antaranya mendesak supaya AMK Pulau Pinang memohon maaf dan menarik balik kenyataan melampau terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini, AMK Pulau Pinang belum mengeluarkan kenyataan sama ada untuk menarik balik kenyataan tersebut atau membuat permohonan maaf.