BANDARAYA MELAKA - Sanggup datang dari jauh untuk melepaskan rindu bertemu teman wanitanya, namun perbuatannya bersedudukan di hotel bajet membawa padah apabila pasangan itu ditangkap penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), awal pagi semalam.

Pasangan masing-masing berusia 23 tahun itu ditangkap dalam satu bilik hotel di Ayer Keroh, di sini, kira-kira jam 12.30 pagi.

Lelaki berkenaan dikatakan datang dari Kelantan menaiki bas untuk bertemu teman wanitanya itu yang merupakan pelajar sebuah universiti di negeri ini.
Menurut sumber, pintu bilik didiami pasangan terbabit hanya dibuka selepas kira-kira 10 minit diketuk penguatkuasa.
“Mereka memberi alasan takut untuk buka pintu sebelum akhirnya pintu dibuka kira-kira 10 hingga 15 minit arahan diberikan. Perempuan itu juga menangis dan memberitahu dia sekadar menemani teman lelakinya yang penat.

“Difahamkan, dia mengambil teman lelakinya di Melaka Sentral petang semalam (kelmarin) dan berjalan sekitar Melaka menaiki kereta milik perempuan tersebut sebelum mendaftar masuk hotel itu,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, pasangan terbabit antara lima pasangan yang dicekup dalam empat serbuan berasingan selama lima jam bermula 9.30 malam.
“Kesemua yang ditahan berusia 19 hingga 40 tahun termasuk seorang kakitangan kerajaan ditahan di hotel bajet di sekitar Ayer Keroh, Bukit Katil, Klebang dan Tengkera,” katanya.
Menurutnya, kakitangan kerajaan yang datang dari Gemas, Negeri Sembilan itu ditahan bersama teman wanitanya berasal dari Melaka di sebuah hotel di Klebang kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

“Pasangan ini mendaftar masuk dua bilik dipercayai untuk mengaburi mata penguatkuasa bagi mengelak diperiksa. Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dilakukan di setiap hotel itu kita menemui lelaki berkenaan berada di dalam bilik wanita itu.
“Lelaki yang mengaku suami orang itu dipercayai hanya meletakkan barang-barang di dalam bilik sebelum memasuki bilik wanita yang terletak selang satu pintu dengan biliknya di hotel berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kelima pasangan itu kemudian dibawa ke pejabat penguatkuasa Jaim untuk siasatan lanjut di bawah Sekyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991 kerana bersekedudukan.
Menurutnya, serbuan diketuai Ketua Unit Operasi (Bahagian Penguatkuasa) Jaim, Zurul Iman Zakaria itu disertai 12 anggota
.